Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,
Adakah saya perlu juga/wajib mengeluarkan zakat simpanan yang telah cukup nisab dan haul sedangkan saya masih dalam lingkungan/kategori orang Asnaf Miskin (layak menerima zakat)
Saya merupakan bekas pekerja swasta yang tiada pendapatan tetap selepas ambil persaraan awal (vss) sejak jan 2021.
Saya juga masih menanggung 3 anak yang masih bersekolah, seorang anak baru tamat belajar,seorang isteri serta masih ada hutang kereta,pembiayaan peribadi dan bil bil bulanan
Mohon pencerahan pihak ustaz
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persaoalan saudara, syarat harta yang dikenakan zakat mestilah harta yang berkembang (al-Nama) atau berpontensi untuk berkembang. Sifat berkembang harta adalah sifat yang memberikan pulangan dan pendapatan kepada pemiliknya. Ia selari dengan makna asal perkataan zakat dalam bahasa Arab yang memberi maksud bertambah dan berkembang.
Sehubungan itu, zakat hanya diwajibkan ke atas harta yang berkembang dan tidak membawa kepada penyusutan harta. Lebih-lebih lagi jika harta tersebut hanya satu-satunya sumber untuk kelangsungan hidup pemiliknya, maka jikalau zakat tetap dikenakan sudah tentu akan membawa kesusahan kepada pemiliknya.
Mengeluarkan zakat harta merupakan salah satu dari rukun Islam yang lima. Kefarduan zakat termaktub di dalam al-Quran, melalui surah Al-Nur ayat 56:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat dan taatlah kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat”.
Antara syarat wajib zakat wang atau simpanan adalah cukup nisab dan sampai haul. Nisab semasa zakat simpanan di Selangor adalah RM19,610.00. Ini bermakna sekiranya seseorang mempunyai simpanan wang yang sedemikian dan jumlahlah kekal atau lebih di dalam simpanan selama setahun, maka wajib ke atas wang simpanan tersebut zakat, iaitu 2.5%.
Walau bagaimanapun, jumlah nisab tersebut perlu ditolak dengan hutang semasa dan hutang tertunggak jika ada serta perbelanjaan semasa di bawah tanggungjawabnya. Sebagai contoh, sekiranya telah cukup setahun (cukup haul), dan wang simpanannya berjumlah RM25,000.00 (cukup nisab). Namun pada bulan tersebut dia mempunyai hutang semasa (bukan keseluruhan hutang) yang perlu dibayar atau yang tertunggak sebanyak RM2,000.00 dan perbelanjaan semasa pada bulan itu adalah RM4,000.00. Maka jumlah simpanan yang ada adalah RM25,000.00 tolak RM6,000.00, iaitu RM19,000.00. Ini bermakna wang simpanan tidak mencukupi nisab dan tidak wajib baginya untuk mengeluarkan zakat simpanan.
Maka, dalam hal ini orang yang tidak mempunyai harta yang mencapai paras minimum kekayaan dalam tempoh setahun (cukup nisab dan haul), maka tidaklah wajib berzakat. Mereka sebaliknya perlu menggunakan harta yang dimiliki itu untuk memenuhi keperluan diri sendiri dan semua tanggungan nafkah yang wajib. Misalnya membeli makanan dan belanja pendidikan.
Jika seorang suami misalnya, dia wajib memastikan harta yang dimiliki itu dimanfaatkan untuk nafkah anak dan isterinya. Termasuklah kedua ibu bapanya jika mereka juga miskin.
Orang yang menanggung nafkah wajib ini, jika dengan berzakat itu menyebabkan tanggungan nafkah wajibnya pula terabai dan menderita, seperti menderita kelaparan; maka dia dianggap berdosa.
Maka, keutamaan ketika itu adalah untuk tanggungan wajibnya, misalnya membeli makanan untuk mereka. Maka, pada waktu itu adalah haram hukumnya jika dia masih mahu mengeluarkan zakat.
Hal ini adalah selaras dengan apa yang ditegaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:
وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ ۗ......
“Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang apakah yang perlu mereka infakkan (zakat), (maka) jawablah: apa-apa yang berlebih (daripada keperluan),” (al-Baqarah: 219)
Sebab itulah, pada masa hari raya aidilfitri misalnya, hanya orang-orang yang mempunyai makanan yang cukup untuk dirinya dari malam hari raya sehingga keesokan harinya sahaja yang wajib mengeluarkan zakat fitrah. Jika tiada makanan, bukan dia yang wajib berzakat; bahkan dia yang perlu menerima zakat. Inilah batas kefarduan yang ditetapkan oleh Islam.
Oleh itu, kesimpulannya bagi orang-orang miskin, utamakanlah sedekah sunat kerana sedekah tidak mempunyai syarat wajib ke atasnya. Bahkan sedekah boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Memberi seringgit dua ke dalam tabung masjid pada setiap minggu boleh dianggap sedekah, dan ia tidaklah membebankan.
والله أعلم بالصواب