BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Ingin tanya berkenaan najis. Bayi lelaki telah membuang air besar berwarna kuning sehingga tembus ke bajunya. Baju itu saya letak didalam mesin basuh semi auto bersama sama baju baju lain. Kemudian saya tadah air dan letak sabun serta vanish. Setelah itu baru saya pusing mesin basuh tersebut. Setelah mesin berhenti pusing, saya buang air tersebut kemudian tadah air yang baru untuk bilas. Saya pusing lagi mesin basuh sehingga ia berhenti. Kemudian saya buang lagi air bilasan tersebut dan tadah air baru untuk bilasan kedua. Selepas itu baru la saya alihkan baju2 ke tempat spin.

Persoalannya yang pertama, baju yang terkena najis kuning masih kelihatan samar2 berwarna kuning. Kebiasaannya jika saya sabun + vanish, kotoran akan hilang. Namun kali ini ia meninggakan warna kuning yang samar2. Adakah keseluruhan termasuk baju2 yg dibasuh bersama dgn baju yang terkena najis anak, dikira najis? Baju yang terkena najis hanya meninggalkan warna kuning yang samar2, tiada bau dan rasa.

Persoalan kedua, jika air basuhan yang pertama diletak sabun yg banyak dan vanish. Walaupun telah dibilas 2 kali, kesan sabun masih ada. Adakah dikira sudah suci atau masih bernajis?

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

membasuh pakaian dengan menggunakan mesin basuh samada automatik atau sebaliknya adalah suci kerana ia menepati hukum syarak dalam bab menyucikan pakaian. Ini bertepatan dengan apa yang disebut oleh para fuqaha di dalam kitab dan fatwa yang muktabar.

Metod basuhan yang menggunakan mesin basuh adalah menepati dua kaedah basuhan yang disarankan oleh fuqaha Shāfi‘iyyah iaitu;

a) Penggunaan air mutlak yang bersih walaupun kurang daripada dua kolah.

b) Berlakunya proses kemasukan air (murur al-mā’) ke dalam pakaian yang dimasukkan lebih awal dalam drum mesin basuh dan mesin dobi, bukan sebaliknya. 

c) Terbukti berlakunya bilangan (adad) basuhan air beberapa kali untuk menghilangkan kesan najis. Pertukaran air basuhan pertama akan dikeluarkan sebelum air baharu dimasukkan bagi putaran kali kedua.

c) Pakaian telah dikeringkan secara putaran (spinning) setelah selesai basuhan berdasarkan mod yang ditetapkan pada kedua-dua mesin. Proses putaran ini menepati kaedah perahan (i’sar) pakaian yang dihukumkan sunat oleh Shāfi‘iyyah dan wajib menurut Hanafiyyah.

d) Dari segi pengesanan zat najis dan jenis kesannya, didapati;

  • i) Kesan najis iaitu bau, warna dan rasa telah hilang sepenuhnya.
  • ii) Kewujudan kesan warna yang masih samar-samar disebabkan kesukaran menghilangkannya dimaafkan oleh syarak atas faktor mashaqqah.
  • Setiap pakaian yang telah hilang semua kesan najis khususnya kategori mutawaṣṣiṭah adalah dihukumkan bersih sekiranya semua kesan tersebut dapat dihilangkan dengan mudah.
  • Jika sukar dihilangkan selepas dibasuh dengan sabun (contoh) seperti kesan darah, pakaian tersebut dihukum bersih dengan dimaafkan (diberikan kelonggaran) pada kesan yang berbekas

Berasaskan prinsip-prinsip di atas, kenyahwujudan najis pada pakaian yang dibasuh menggunakan kedua-dua mesin itu sewajarnya telah dianggap bersih dalam konteks ṭahārah sebagai syarat sah ibadat solat, bukan sekadar menghilangkan kotoran najis (izālah al-najāsah) semata-mata.

Adalah disarankan agar pakaian yang terkena najis dihilangkan atau dibersihkan najisnya terlebih dahulu dan dibasuh dengan dialirkan air mutlak pada tempat yang terkena najis. Seterusnya boleh dimasukkan ke dalam mesin basuh untuk dibasuh bersama-sama dengan pakaian yang lain. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 617

message user image