Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Apakah hukum membuat pembesaran payudara melalui suntikan hyaluronic acid bagi tujuan kecantikan untuk suami?
Jawapan
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Hyaluronic asid dihasilkan secara semula jadi oleh sel kulit untuk mengekalkan tahap kelembapan dan ketegangan. Namun, atas faktor usia, keupayaan sel kulit di dalam menghasilkan hyaluronic asid semakin berkurangan. Mengetahui fungsi dan kepentingan hyaluronic asid di dalam mengekalkan ketegangan kulit, saintis menghasilkan hyaluronic asid secara sintetik yang difahamkan bersumber dari tumbuhan atau haiwan. Di samping digunakan sebagai bahan yang disuntik untuk menegangkan kulit di muka, ia juga digunakan sebagai filler untuk pembesaran payudara.
Terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan di dalam menetapkan hukum melakukan pembesaran payudara melalui suntikan hyaluronic asid.
Pertama: Tujuan suntikan. Pembesaran payu dara secara umum diharuskan bagi tujuan perubatan seperti saiz payudara yang kecil yang tidak normal mengikut kebiasaan saiz badan wanita biasa atau sekiranya salah satu payudara mempunyai saiz yang berbeza, maka ia adalah diharuskan. Pembesaran payudara dengan tujuan mengembalikan kecantikan akibat penuaan yang normal adalah tidak diharuskan. Namun seandainya terdapat hajat bagi menjamin kemesraan hubungan suami isteri, ia diharuskan selama tidak membawa perubahan yang amat ketara atau tidak normal.
Kedua: Bahan suntikan. Memastikan bahawa hyaluronic asid yang digunakan dihasilkan dari sumber yang suci serta tidak mengandungi bahan kimia yang membahayakan.
Ketiga: Nasihat pakar yang boleh dipercayai. Pengguna hendaklah mendapatkan nasihat daripada pakar yang dipercayai berhubung kesesuaian kaedah suntikan tersebut, kesan komplikasi, risiko serta bahaya yang mungkin timbul. Seandainya ia boleh mendatangkan kemudaratan yang besar, maka kaedah tersebut tidak diharuskan.
Keenam: Keizinan suami. Perbuatan tersebut hendaklah dengan keizinan suami. Seandainya suami tidak mengizinkan maka ia tidak dibenarkan. Melainkan sekiranya tujuan tersebut adalah untuk memperbaiki kecacatan.
Kelima: Kos suntikan. Kos yang dikeluarkan hendaklah tidak membebankan sehingga menyebabkan berlaku pengabaian terhadap tanggungjawab kewangan kepada ahli keluarga dan sebagainya.
والله أعلم ب