BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Apakah hukum membantu menghantar orang belum muslim ke tempat sembahyangnya (kuil/tokong) dalam keadaan terdesak(hanya kita yang ada waktu itu) dan tidak terdesak(ada non muslim lain yang boleh hantarkan) ?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Sikap saling peduli dan bantu membantu menjadi salah satu ciri khas dalam budaya Islam. Islam menggalakkan umatnya untuk berbakti serta melakukan kebaikan bukan kepada saudara seislam, bahkan kepada orang bukan Islam. Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Mumtahanah: 8:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (8) إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَى إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (9)

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)

Di dalam suasana masyarakat di Malaysia yang hidup berbilang kaum dan agama, adalah disarankan untuk saling bantu membantu di antara satu sama lain, lebih-lebih lagi sekiranya mereka adalah jiran atau kenalan kita, selama diketahui mereka tidak memburukkan atau memerangi agama Islam.

Diriwayatkan daripada Abu Syuraikh RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُحْسِنْ إِلَى جَارِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” (Riwayat Muslim).

Merujuk kepada persoalan tuan, adalah diharuskan bagi orang Islam seandainya terdapat orang bukan Islam yang meminta bantuan untuk menghantarnya ke tempat ibadah, sama ada dalam keadaan terdesak ataupun tidak, dengan niat untuk membantu seseorang yang memerlukan pertolongan. Perkara ini dilihat sebagai suatu usaha dakwah bahawa Islam tidak membezakan bangsa atau agama di dalam memberi pertolongan.

Adapun menawarkan diri untuk menghantar orang bukan Islam ke tempat ibadah adalah tidak diharuskan. Ini adalah kerana ia dianggap membantu secara langsung atau menggalakkannya untuk menyekutukan Allah SWT.

Sekian, terima kasih.   

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 218

message user image