BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada persoalan mengenai sumpah.

 

Membayar kafarah sumpah ada empat cara, iaitu 

=Beri makan 10 orang miskin

=Beri pakaian 10 orang miskin

=Bebaskan hamba

= Puasa tiga hari berturut2

 

(1)Persoalannya, kafarah ini boleh dipilih ikut kehendak kita, atau tidak boleh dipilih (mengikut urutan kemampuan).

Pada apa yang saya belajar kita boleh pilih cara hendak bayar kafarah sumpah kita mengikut kehendak kita.  Mohon pencerahan

 

(2) Bolehkah pelajar membayar kafarah sumpah dengan hanya puasa 3 hari sahaja kerana duit yang ada perlu digunakan untuk kegunaan belajar di Universiti?

 

(3) Adakah kafarah puasa 3 hari tersebut perlu berturutan, atau tidak? Dan Bagaimanakah niat puasa itu dan waktu bilakah kita perlu niat tersebut?

 

Mohon pencerahan dari pihak Tuan

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Dalam membicarakan tentang sumpah dan kaffarah ini, kami mulakan dengan Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 89;

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا عَقَّدْتُمُ الْأَيْمَانَ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ذَلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (89)

Bermaksud:

“Allah SWT tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengajakan, maka kafarah (melanggar) sumpah itu ialah memberi makan sepuluh orang miskin iaitu daripada makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. Barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffarahnya puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarah sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar) dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur (kepada-Nya).” (Surah al-Maidah, ayat 89)

Daripada ayat di atas dapat kita fahami bahawa, menunaikan satu daripada tiga perkara berikut boleh dilakukan untuk menggantikan kafarah sumpah iaitu:

• Memberi makan kepada 10 orang miskin.

• Memberi pakaian kepada 10 orang miskin.

• Memerdekakan seorang hamba sahaya.

Jika tiga perkara itu tidak dapat ditunaikan, maka perlu berpuasa selama tiga hari. Ini berdasarkan  firman Allah SWT sepertimana dalam ayat di atas.

1. Mengikut kitab Fiqh al-Manhaji Mazhab al Syafie: Sesiapa yang melanggar sumpah samada sumpah bohong atau tidak, wajib menunaikan kaffarah. Dia diberikan tiga pilihan pertama, mana-mana satu tanpa mengikut turutan, iaitu :

a) Memerdekakan seorang hamba, atau
b) Memberi makanan yang mengenyangkan kepada sepuluh orang miskin dengan makanan yang sederhana, yang biasa diberikan oleh seseorang kepada keluarganya, atau 
c) Memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin.

Jika tidak mampu melakukan tiga pilihan di atas, maka mengikut tertib berikutnya hendaklah dia berpuasa tiga hari sama ada secara berturut-turut atau tidak berturut-turut.

2. Sekiranya seseorang itu memang tidak mampu untuk menunaikan ketiga-tiga pilihan kaffarah tersebut, maka dia boleh berpuasa tiga hari. Kemampuan ini adalah berdasarkan kepada individu tersebut, Sekiranya tidak mampu sehingga urusan bayaran universiti pun tidak mampu untuk membayarnya, maka  dia boleh dikategorikan sebagai tiada kemampuan, tetapi sekiranya ada lebihan maka dia mesti menunaikan salah satu daripada pilihan yang ada tersebut. Para fuqaha telah bersepakat bahawa puasa hanya boleh dilakukan jika dia tidak mampu melakukan tiga pilihan di atas.

3. Berpuasa tiga hari samada secara berturut-turut atau tidak berturut-turut. Kaifiatnya sama sepertimana puasa di bulan Ramadhan atau puasa sunat yang lain dan niatnya adalah "Saya berniat puasa esok untuk melaksanakan kaffarah fardhu kerana Allah Ta'ala".

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 363

message user image