Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan/puan saya ingin bertanya berkenaan lafaz cerai taklik, adakah dibolehkan untuk seorang suami yang melafazkan cerai taklik untuk menarik semula lafaz tersebut?? Saya ada menonton sebuah ceramah seorang ustaz yang memberitahu bahawa terdapat 1 mazhab(hambali) yang membolehkan suami untuk menarik semula lafaz taklik tersebut.. harap sudi membantu..
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
..الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan saudari, terdapat segelintir fuqaha Mazhab Hambali berpendapat harus membatalkan atau menarik semula lafaz ta'liq talaq. Hal ini berdasarkan kepada qiyas (menyamakan) seseorang mengatakan kepada hambanya "apabila datang awal bulan, maka kamu dibebaskan". Tuan kepada hamba tersebut mempunyai hak untuk menarik balik pembebasan hamba itu selama belum sampai tempoh yang disyaratkan.
Walau bagaimanapun, majoriti fuqaha Mazhab, antaranya Mazhab Syafi’i, berpendapat bahawa lafaz ta'liq talaq tidak boleh ditarik balik apabila telah dilafazkan. Ini adalah kerana lafaz ta’liq talaq atau dinamakan juga cerai bersyarat merupakan salah satu bentuk talaq, yang apabila dilafazkan ia tidak boleh ditarik balik atau dibatalkan.
Pendapat majoriti fuqaha Mazhab adalah lebih kuat dan pendapat ini yang dipegang dan diamalkan di mahkamah Syariah di Malaysia. Seandainya berlaku penceraian secara ta’liq talaq pasangan hendaklah merujuk kepada mahkamah Syariah yang terdekat bagi membuat pengesahan sama ada talaq telah berlaku atau tidak.
والله أعلم بالصواب