BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Semasa di matrik sy pernah bernazar, sekiranya sy mendapat pointer 3.0 ke atas sy akan berpuasa mengikut jumlah nombor dibelakang. Contohnya sekiranya sy dapat 3.23, sy akan berpuasa 23 hari. Dan pada semester tersebut sy telah mendapat 3.92 bermaksud sy perlu berpuasa 92 hari. Adakah lafaz nazar saya dikira sah dan perlu menunaikan puasa tersebut? 


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudari, pengertian nazar dari sudut bahasa ialah berjanji untuk melakukan sesuatu kebaikan atau kejahatan. Manakala dari sudut istilah, nazar ditakrifkan sebagai:

اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء

Maksudnya: "Mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak diwajibkan oleh syara’ (ke atas dirinya) sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara."

Para ulama sepakat, hukum melaksanakan nazar atau melaksanakan sesuatu sepertimana yang dinazarkan adalah wajib. Nazar tersebut dilakukan untuk kebaikan selain mendekatkan diri kepada Allah SWT, bukan ke arah kemaksiatan kepada-Nya.

Orang yang bernazar tetapi tidak melaksanakan nazarnya sama ada sengaja ataupun tidak mampu melaksanakannya, maka wajib membayar kaffarah (denda). Jumlah denda itu adalah sama seperti kaffarah melanggar sumpah. Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 29 :

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya : "Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka."

Justeru, nazar saudari wajib dilaksanakan sebagaimana yang dilafazkan iaitu berpuasa 92 hari. Tidak boleh diubah dengan yang lain. Setiap manusia mesti berpegang kepada janjinya. Firman Allah SWT dalam surah al-Israa' ayat 34 :

وَاَوْفُوْا بِالْعَهْدِۖ اِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْـُٔوْلًا

Maksudnya : “Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia). Sesungguhnya perjanjian itu akan dipertanggungjawabkan.” 

Adalah dinasihatkan untuk tidak membuat nazar yang boleh membebankan diri sendiri. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 162

message user image