Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz, saya nak tanya. saya ada join satu kerja part time ni dengan shopee, kerja ni senang je. Pertama, diorang bagi satu link product/shop dalam shopee, lepastu kita kena like and follow link shop tu. Dah siap like dan follow, kita kena screenshot kerja tersebut yang telah dibuat dan hantar dekat dorang, lepastu kita akan dapat bayaran daripada diorang. Contohnya diorang bayar RM2-4.
Kerja kedua, diorang bagi satu link product dalam shopee, lepastu kita kena buat pembayaran mengikut harga product itu. Diorang cakap selepas buat pembayaran kita akan dapat 20% komisen dari jumlah yang kita telah payment. Contohnya, diorang suruh bayar RM100 untuk produk itu, jadi lepastu diorang akan bayar 20% komisen dari RM100 tu. Jadi, bayaran + dengan komisen tu memang betul2 dapat masuk akaun bank.
Jadi, apa hukumnya untuk duit tu? bolehkah kita guna?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Untuk pengetahuan, antara syarat diharuskan mengambil upah dari sesuatu pekerjaan adalah:
Daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
الحَلاَلُ بَيِّنٌ، وَالحَرَامُ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشَبَّهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى المُشَبَّهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ
Maksudnya: "Sesungguhnya yang halal itu jelas, dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh ramai orang. Maka siapa yang takut terhadap syubhat bererti dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya." (Riwayat Al-Bukhari).
Dari keterangan yang diberikan, sangkaan kuat yang kita dapat fahami adalah tindakkan melakukan like serta follow link shop tertentu akan memberikan gambaran bahawa shop tersebut mempunyai followers yang ramai serta popular. Namun pada hakikatnya, ia bukanlah followers yang tulen (genuine). Ini secara tidak langsung boleh mempengaruhi serta menarik perhatian pelanggan untuk membeli barang dari shop tersebut.
Perkara yang sama bagi pekerjaan yang kedua. Pembelian yang dilakukan bukanlah pembelian sebenar. Perbuatan ini menyebabkan pelanggan beranggapan bahawa pembelian terhadap barang tersebut adalah tinggi, tapi pada hakikatnya tidak. Ini secara tidak langsung mendorong pelanggan untuk membuat pembelian.
Didapati bahawa kedua-dua pekerjaan yang dilakukan itu boleh menyebabkan pelanggan mendapat gambaran yang tidak benar terhadap status shop serta barangan yang dijual. Oleh itu, ia terdapat unsur penipuan dan ia tidak diharuskan.
والله أعلم بالصواب