BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t, saya ada masalah dan soalan yang begitu merungsingkan saya dengan suami.

dulu semasa kami remaja kami sangat sosial hingga lupa halal haram, hinggala terjadi perzinaan, sebelum saya berkahwin dengan suami, saya berzina lebih dari seorang lelaki (suami sekarang dan bekas kekasih) bila saya di sahkan mengandung saya bernikah dengan suami yang sekarang, kerana dia ingin bertanggungjawab sebab kami telah beberapa kali terlanjur setelah beberapa bulan pernikahan maka saya telah selamat melahirkan anak lelaki, dan semasa membuat pendaftaran kelahiran JPN telah memberi kebenaran dan kelulusan anak saya di nasabkan (ber bin kan) kepada suami saya. soalan saya apakah anak saya boleh di nasabkan kepada suami saya, apakah hukumnya?, kerana sebelum kami menikah saya juga pernah terlanjur dengan lelaki lain, saya ingin tahu status nasab ini di benarkan ke? sekarang umur anak saya sudah 11tahun, saya tak sanggup sekiranya dia harus bertukarkan bin, saya tak tahu ingin menjelaskan kepada anak saya status nya, mohon berikan saya pencerahan keraNA kami sangat terbeban dengan permasalahan ini, kami dah semakin tua dan kami semakin takut dengan hukum allah akan dosa2 lalu kami. bantu kami berikan jawapan yang dapat menenangkan hati kami. terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Berzina adalah satu perbuatan keji dan berdosa besar. Allah berfirman di dalam surah al-Isra’: 32:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

Oleh itu, setiap orang yang berdosa hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT dan keinginan puan untuk bertaubat dengan sebenar-benar taubat sangat dituntut. Mudah-mudahan dosa tersebut diampunkan oleh Allah SWT kerana Allah SWT Maha Pengampun sebagaimana firman-Nya dalam surah an-Nisa' ayat 106 :   

وَٱسۡتَغۡفِرِ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورࣰا رَّحِیمࣰا

Maksudnya: “Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah SWT kerana sesungguhnya Allah SWT adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Untuk pengetahuan puan, terdapat beberapa syarat untuk mensabitkan nasab seorang anak kepada seorang lelaki sebagai bapanya, antaranya:

2. Perkahwinan: sekiranya anak itu lahir di luar perkahwinan, maka anak itu tidak boleh dinasabkan kepada lelaki tersebut.

Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ، وَلِلْعَاهِرِ الْحَجَرُ

Bermaksud: “Anak adalah milik kepada pemilik katil/suami (dinasabkan kepadanya), sedangkan bagi penzina untuknya batu (dihukum rejam dengannya)”.

2. Anak lahir dalam tempoh lebih dari enam bulan 2 lahzah (detik) qamariyyah dari waktu “Imkan ad Dukhul” atau kemungkinan boleh berlaku hubungan kelamin selepas perkahwinan yang sah.

Ini berdasarkan kepada firman Allah SWTdalam surah al-Ahqaf: 15:

وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا

Bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.”

Di dalam surah Al-Baqarah: 233 pula, Allah SWT berfirman:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

Bermaksud: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.”

Di dalam ayat pertama, Allah SWT menyatakan bahawa tempoh mengandung serta menyusukan anak adalah 30 bulan. Mana kala di dalam ayat yang kedua, Allah SWT menyatakan bahawa tempoh susuan bagi seorang anak adalah 2 tahun atau 24 bulan. Ini bermakna, tempoh mengandung adalah 30 bulan ditolak 24 bulan iaitu 6 bulan.

Terdapat peruntukkan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, seksyen 111. Siapakah yang dikaitkan sebagai bapa:

[Jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh, dengan cara li’an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan Mahkamah.]

Mana kala, di dalam Fatwa Garis Panduan Mengenai Anak Tak Sah Taraf Menurut Hukum Syara' yang telah diwartakan pada 28 April 2005 menyatakan bahawa anak tak sah taraf menurut hukum syara’ ialah:

(1) Anak yang dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil daripada zina, rogol atau melalui cara sainifik yang bertentangan dengan hukum syara’.

(2) Anak yang dilahirkan kurang daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari waktu “Imkan ad Dukhul” dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhat.

(3) Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari segi waktu “Imkan ad Dukhul” selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syara’ bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syara’.

Berdasarkan kepada penerangan yang puan berikan bahawa puan ragu-ragu akan kesahan taraf anak puan yang selama ini telah dianggap sebagai anak yang sah taraf dan telah pun diterima pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), adalah disarankan kepada pihak puan untuk merujuk perkara tersebut kepada pihak Mahkamah Tinggi Syariah. Ini bertepatan dengan peruntukan di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, seksyen 61. Bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah.

(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah—

(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan—

(iii) nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) budak-budak.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 293

message user image