BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin mendapat sadikit penjelasan dari pihak Tuan tentang kewajipan berzakat ke atas hutang yg diberikan. 

Isunya berkaitan dengan hutang yg ingin dilupuskan atau dihalalkan oleh pemiutang di mana hutang tersebut telah melebihi nisab dan telah melebihi 10 tahun. Berdasarkan kaadaan si berhutang, tidaklah diyakini hutang itu akan diperolehi atau di bayar kembali. Jadi si pemiutang bercadang untuk menghalalkan shj hutang tersebut. Sebelum dihalalkan, adakah si pemiutang perlu membayar zakat hutang tersebut. Jika perlu, adakah zakat nya perlu dibayar setiap tahun atau cuma pada tahun di mana hutang tersebut dihalalkan. Sebarang  pencerahan dari pihak tuan didahului dengan ucapan terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Islam adalah agama ta’awun, yakni saling tolong-menolong. Memberi hutang dianggap mulia, kerana ia memberikan jalan keluar kepada saudara seagama dalam kemelut kehidupan. Nabi Muhammad SAW menyatakan: “Pinjaman dua dinar yang aku pinjamkan (beri hutang) kemudian dikembalikan lagi, seterusnya aku pinjamkan lagi adalah lebih aku cintai daripada aku sedekah dengannya.” 

Oleh itu, dalam menanggapi isu zakat hutang, maka para fuqaha mempunyai pandangan yang pelbagai terhadapnya. Umumnya, jumhur fuqaha menyatakan bahawa hutang yang diberikan kepada orang lain, maka wajib zakat ke atasnya apabila harta yang dihutangkan itu diperoleh kembali dan wajib dibayar atas zakatnya bagi masa-masa yang berlalu.

Namun, ada juga yang berpandangan bahawa hutang itu tidak wajib dizakatkan, justeru ia adalah harta yang hakikatnya tidak berada dalam kekuasaan si pemiutang (orang yang memberikan hutang). Maka, kewajipannya hanya datang setelah harta itu diperoleh kembali dan disyaratkan cukup nisabnya dan dimiliki selama setahun.

Dalam hal ini, amalan di Lembaga Zakat Selangor (LZS) khususnya, pengiraan zakat ke atas hutang adalah diambil kira sebagai sempurna milik seandainya orang yang berhutang menjelaskannya kembali pada tahun semasa sebagaimana yang dijanjikan. Misalnya, si A berjanji menjelaskan hutang kepada saudara dalam tempoh tiga bulan, dan dia menepati janjinya, maka saudara hendaklah mencampurkan hutang yang diperoleh dengan wang saudara yang lain dan dikirakan zakat ke atasnya.

Sehubungan itu, merujuk persoalan tuan dengan berdasarkan amalan di LZS di atas, dapat dinyatakan bahawa si pemiutang tidak dikenakan zakat ke atas hutang yang diberikan selagi penghutang tidak menjelaskan hutangnya kepada si pemiutang atau pun si pemiutang bercadang untuk menghalalkan terus hutang tersebut. Ini kerana, si pemiutang tidak dikira sebagai sempurna milik harta ke atas hutang tersebut. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 166

message user image