BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz,

Bolehkah seseorang itu menggabungkan harta-hartanya yang termasuk dalam kategori perlu di zakat jika cukup nisab seperti wang simpanan, emas, saham, kripto dan lain-lain untuk mencukupkan nilai nisab supaya dikenakan zakat? Sekiranya tidak digabungkan harta-harta tersebut nilai nisab tidak mencukupi untuk wajib zakat. Adakah wajib menggabungkan harta-harta tersebut supaya cukup nisab untuk dibayar zakat? Atau hanya perlu buat kiraan zakat satu persatu mengikut kategori. Sebagai contoh nisab terkini adalah RM 19,500.00 dan wang simpanan seseorang hanya ada RM 10,000.00, emas hanya ada 3 gram, nilai saham ada RM 5000.00 dan nilai kripto ada RM 5000.00. Jika dikira mengikut kategori satu persatu, nilai harta tersebut tidak cukup nisab untuk dizakatkan. Namun jika digabungkan nilai harta-harta tersebut ia akan melebihi nilai nisab dan wajib dikenakan zakat 2.5% dari nilai harta-harta tersebut. Mohon pencerahan dari ustaz. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه

Dapat difahami bahawa mata wang dalam Islam adalah  sesuatu yang berfungsi sebagai alat perantaraan dalam proses pertukaran barangan (medium of exchange). Ia juga digunakan bagi menjadi pengukur nilai bagi sesuatu benda atau barangan. 

Dalam membicarakan wang simpanan ianya membawa maksud wang yang disimpan dalam bentuk simpanan biasa, tetap, semasa, saham, amanah, kripto, e-Wallet serta lain-lain simpanan Begitu juga pada hakikatnya emas dan duit kertas berada di dalam kategori yang sama iaitu dikategorikan sebagai medium pertukaran yang mempunyai kuasa membeli. Justeru itu, kedua-dua item (nilai emas dan duit kertas) perlu digabungkan dan sekiranya jumlahnya melebihi kadar nisab, maka wajib dikeluarkan zakat secara sekali sahaja dan tidak dikeluarkan secara berasingan. 

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al- Taubah ayat 34;

وَٱلَّذِينَ يَكْنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلْفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍۢ ۝٣

Maksudnya:

“Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya”

Zakat tidak perlu dibayar atas saham dan dividen saham sekiranya sesebuah syarikat tersebut telahpun mengeluarkan zakat perniagaan bagi pihak pemegang-pemegang sahamnya. Namun sekiranya syarikat tidak mengeluarkan zakat perniagaannya, maka individu yang memiliki saham syarikat tersebut wajib membayar zakat secara persendirian.

Baki setiap simpanan pada hujung haul dari setiap akaun simpanan tersebut mestilah dicampurkan untuk mengira zakat walaupun mungkin jika dikira satu-satu akaun, baki hujung haulnya tidak mencukupi nisab.

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 129

message user image