Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
assalamualaikum
saya seorang juruteknik. kerja2 harian menggukan tangga untuk memanjat. suatu hari kasut terpijak tahi Anjing dan kena setiap anak tangga. seperti pengetahuan UMUM saya Tangga tersebut perlu Di samak
jika saya hanya membersihkan tangga tersebut untuk menghilangkan najis (menghilangkan bau,warna dan rasa) tanpa samak. perlukah saya samak tangan saya setiap kali selepas saya pegang anak tangga tersebut kerana ianya belum disamak ?
(maksundnya najis itu berpindah ke tangan saya pula)
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Pada asasnya najis adalah sesuatu yang kotor dan ianya perlu dibersihkan. Majoriti ulama’ sepakat bahawa anjing ialah najis dan dikategorikan sebagai najis mughallazah kerana cara basuhan najis anjing lebih berat daripada najis lain iaitu dengan air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali.
Merujuk kepada persoalan tuan, najis anjing yang telah dibersihkan tersebut tidak dianggap suci kerana tidak mengikut kaedah yang sebenarnya dalam menyucikan najis mughallazah dan ia menjadi najis hukmi yakni najis yang telah hilang ain serta sifatnya seperti warna, bau dan rasa. Menurut mazhab Syafi'i, najis hukmi boleh berpindah dalam keadaan basah. Oleh itu, tangan yang basah apabila memegang tempat najis tersebut akan menjadi mutanajjis atau terkena najis kerana bersentuhan dengan najis hukmi boleh memindahkan najis ke tempat yang lain.
Oleh itu, disarankan supaya tuan lebih prihatin terhadap isu najis dengan segera mensucikannya dengan cara yang betul. Ini adalah bagi mengelakkan dari timbul permasalahan serta rasa bersalah pada masa akan datang.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.