Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum tuan, saya bekerja sebagai maintenance kilang yayang membaiki mesin berminyak dan bahan kimia yang melekat di tangan yang susah ditanggalkan. Selepas bekerja saya akan membasuh tangan menggunakan sabun gred industri tetapi kadangkala ada kotoran yang liat untuk dihilangkan.
Soalan saya, jika saya selepas bersama isteri dan ingin menunaikan solat subuh. Saya akan berusaha membasuh tangan sesungguh yang boleh sampaikan kadangkala hampir setengah jam untuk menghilangkan kotoran dan tidak semuanya dapat dihilangkan. Jika saya sudah berusaha, sah kah jika saya teruskan mandi wajib jika masih ada kekotoran pada tangan bagi mengejar waktu subuh?
Kedua, jika dalam waktu bekerja, saya akan membasuh tangan seadanya untuk berwudhu dan menunaikan solat. Sah kah wudhu dan solat saya?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Bersuci merupakan salah satu syarat sah solat bagi seseorang muslim. Tubuh dan anggota badan mestilah bersih dan tiada penghalang kepada air untuk sampai keseluruh anggota ketika berwuduk atau mandi hadas. Merujuk kepada soalan tuan:
1. Dalam situasi mandi wajib / hadas, seandainya tuan telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menghilangkan kesan minyak mahupun bahan kimia tersebut, namun masih juga terdapat kesan degil yang tidak dapat ditanggalkan dan ia adalah sedikit mengikut adat, maka ia dimaafkan.
2. Keadaan yang sama ketika berwuduk, seandainya tuan telah berusaha sedaya upaya untuk menghilangkan kesan minyak serta bahan kimia tersebut, namun masih juga terdapat kesan yang sukar untuk dihilangkan dan ia adalah sedikit mengikut adat, maka ia dimaafkan.
Saranan kepada pihak tuan, sekiranya boleh, tidak menjejaskan atau mengganggu cara tuan bekerja, untuk menggunakan sarung tangan bagi mengelakkan kesan minyak atau bahan kimia tersebut.
والله أعلم بالصواب