Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbkth ustaz/ustazah.. Terus kpd soalan ya... Sedia maklum ibadah solat dan puasa diwajibkan bagi setiap penganut agama Islam...dan jika ditinggalkan samada sengaja atau tidak perlu digantikan... Persoalan saya,bagaimana kaedah untuk menggantikan solat dan puasa bagi pihak ibu saya yang telah meninggal dunia...
untuk makluman ustaz/ustazah ibu saya semasa hayatnya adalah pesakit kanser usus dimana bahagian usus telah dipotong dan sisa darah dan makanan keluar dari bahagian perut yang telah dipasang plastik (beg stoma)
Terima kasih...
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan saudara, solat fardu merupakan tanggungjawab individu itu sendiri (ibadah badaniyyah) yang menjadi tiang agamanya. Sekiranya ditinggalkan dengan sengaja, hukumnya berdosa. Wajib bertaubat dan qada' solatnya. Sekiranya ditinggalkan dengan tidak sengaja seperti terlupa atau tertidur maka wajib segera qada' apabila teringat atau terjaga dari tidur.
Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, katanya:
لا يصلي أحد عن أحد، ولا يصوم أحد عن أحد
Maksudnya : “Seseorang tidak boleh solat untuk menggantikan solat orang lain, dan tidak pula puasa untuk menggantikan puasa orang lain.” (Riwayat al-Nasaie)
Jumhur fuqaha’ Syafi’iyah menyatakan bahawa solat yang ditinggalkan oleh orang yang telah meninggal dunia, tidak boleh diqada’ oleh orang lain sama ada oleh anak dan sesiapa saja dan tidak perlu dibayarkan fidyah ke atasnya. Ini bermakna solat si mati yang luput tidak boleh diganti oleh orang lain atau dibayarkan fidyah. Berkenaan menggantikan puasa si mati, ia dibolehkan berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa Nabi SAW telah bersabda :
من مات وعليه صيام صام عنه وليه
Maksudnya: “Barangsiapa yang meninggal dan mempunyai puasa (yang tertunggak), maka disempurnakan oleh walinya”. (Riwayat al-Bukhari)
Namun, bukanlah menjadi kewajipan si anak atau waris untuk menggantikan puasa si mati. Sekiranya anak tidak menggantikan puasa tersebut, kaedahnya ialah membayarkan fidyah menggunakan harta pusaka peninggalan si mati mengikut jumlah hari yang ditinggalkan. Contoh :
Puasa kena ganti 10 hari didarab dengan nilai secupak beras yang biasa dimakan (harga semasa), iaitu (10 hari x RM1.70 = RM17.00)
Untuk makluman saudara, solat fardu wajib ditunaikan sama ada masa sihat atau masa sakit. Jika semasa sakit, anak atau warisnya mengingatkan dan membantu mereka untuk menunaikan solat mengikut kaedah solat bagi orang sakit.
‘Imran bin Husoin RA berkata: “Aku mengidap penyakit bawasir (buasir), lalu aku bertanya kepada Nabi SAW tentang cara solat, maka Nabi ﷺ bersabda :
صَلِّ قَائِمًا ، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا ، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Solatlah dalam keadaan berdiri, maka jika tidak mampu maka solatlah secara duduk, maka jika tidak mampu maka solatlah secara mengiring” (Riwayat al-Bukhari)
Bagi pesakit yang menggunakan stoma atau kolostomi beg, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-79 yang bersidang pada 6 - 8 September 2007 telah membincangkan Hukum Pelaksanaan Ibadah Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi bahawa:
والله أعلم بالصواب