Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, Saya adalah peniaga online. saya ada masalah di mana customer online, telah membuat membayaran secara online kepada saya, dan saya pula mengalami masalah untuk berhubung dengan customer akibat tempat kami berhubung itu tidak dapat digunakan lagi oleh saya. Maksudnya saya tidak dapat contact customer dan customer pon tidak dapat contact saya. Dah macam macam saya cuba untuk berhubung dengan customer saya, tapi tidak berjaya. Soalan saya, apa yang saya harus buat dengan duit tersebut? Bolehkah saya menggunakkan duit itu walaupun saya dah berusaha untuk memulangkan duit customer tersebut.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, bayaran wang yang tuan terima adalah harga barang yang sepatutnya pihak tuan hantar atau pos kepada pelangan yang telah membuat bayaran tersebut. Akan tetapi disebabkan sistem online yang digunakan sebagai medium perhubungan di antara pihak tuan dan pelanggan telah tidak dapat digunakan lagi atas sebab-sebab tertentu, maka pihak tuan tidak dapat menghubungi pelanggan yang telah membuat pembayaran. Berdasarkan kenyataan di atas, adalah menjadi kewajipan kepada pihak tuan untuk memulangkan wang bayaran tersebut kepada pelanggan. Apa yang pihak tuan boleh lakukan adalah.
1. Menyerahkan wang bayaran tersebut kepada Baitulmal dengan menjelaskan kepada mereka kedudukan wang tersebut. Ini adalah kerana seandainya pelanggan itu menuntut suatu masa nanti, adalah menjadi kewajipan kepada pihak Baitulmal untuk memulangkannya.
2. Walau bagaimanapun sekiranya nilai wang itu sedikit atau pihak tuan berkeperluan untuk menggunakan wang bayaran tersebut, adalah diharuskan untuk berbuat demikian dengan menganggapnya sebagai hutang dan sekiranya pelanggan itu diketahui maka wajib kepada pihak tuan untuk memulangkannya jika diminta.
والله أعلم بالصواب