BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, 

Saya ingin bertanya, apakah hukum tidak hadir mahupun hadir ke majlis perkahiwnan yang menjemput dalam group whatapps secara umum seperti jemputan kawan-kawan  bukan seperti jemputan ahli keluarga walaupun yang menjemput adalah ahli keluarga sendiri ? Dan apabila kita pergi ke majlis tersebut seperti kita tidak diundang oleh pihak tuan rumah.

 

Sekian terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Secara kebiasaannya jemputan dalam bentuk facebook event ini sekadar proses mempermudah dalam menentukan jumlah bilangan individu yang akan hadir ke majlis perkahwinan tersebut terutamanya dalam kalangan rakan-rakan facebook, whatsapp group, twiter dan sebagainya. Sudah pasti dalam perkembangan teknologi  masa kini, banyak berlaku perubahan dalam gaya hidup termasuklah isu jemputan ke majlis perkahwinan kepada sahabat handai dan rakan taulan.

Pada prinsip umumnya, hukum membuat jemputan melalui media sosial adalah tindakan yang diharuskan dan tidak bertentangan dengan syarak. Ia juga bertepatan dengan sebuah kaedah fiqh yang menyebut:

الوَسَائِلُ لَهَا أَحْكَام المَقَاصِد

Maksudnya: Wasilah-wasilah mengambil pakai hukum maqasid.

Justeru, sekiranya tujuan seseorang itu benar-benar ingin menjemput orang ramai hadir ke majlis perkahwinannya, ianya adalah dibenarkan untuk menggunakan apa sahaja wasilah/ kaedah untuk menjemput sama ada melalui lisan, kad jemputan, atau aplikasi media sosial seperti facebook, twitter, dan seumpamanya.

Meskipun begitu, sekiranya jemputan itu datang dalam bentuk yang umum seperti jemputan perkahwinan melalui melalui facebook atau aplikasi secara umum dan kita merupakan salah seorang dalam tersebut, maka tidak menjadi tuntutan (kewajipan) untuk kita menghadirinya di sisi majoriti ulama. Begitu juga dengan jemputan yang dimuat naik melalui facebook event, kumpulan whatsapp (whatsapp group), dan sebagainya yang datang dalam bentuk jemputan umum.

Namun, jemputan ini menjadi wajib untuk menghadirinya jika undangan tersebut ditujukan khas kepada anda meskipun ia dijemput melalui facebook. Tambahan pula ia turut disertakan dengan jemputan yang sama melalui medium-medium lain seperti jemputan secara berhadapan, kad jemputan, dan selainnya.

Jika anda tidak dapat menghadirinya kerana terdapat keuzuran-keuzuran yang dibenarkan oleh syarak, maka ia tidaklah dianggap sebagai berdosa. Isu berkaitan dengan layanan  oleh pihak  tuan rumah, hendaklah kita selalu bersangka baik, anggaplah pada ketika itu tuan rumah sedang sibuk melayan tetamu yang ramai, melayan dan menyantuni semua orang. Sebaiknya, perbanyakkanlah berdoa kepada Allah SWT agar  pasangan yang diraikan sentiasa mendapat rahmat dan berkat dari Allah S.W.T.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 398

message user image