BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : JENAYAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz/ustazah. Saya memerlukakan pencerahan tetang anak saya yg telah terlanjur. Sekarang ni dah masuk 8 minggu(56hari). Boleh ke kite gugurkan kandungan nya demi kesihatannya. Kerana dia mengidap athma dan dia juga mempunyai masaalah IQ yang rendah yang boleh memudaratkan dia untuk menjaga bayi tu kelak.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد      

Allah SWT telah menentukan peringkat penciptaan manusia akan melalui beberapa peringkat semasa di alam rahim. Sabda Nabi Muhammad S.A.W daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:

إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة ، ثم يكون علقة مثل ذلك ، ثم يكون مضغة مثل ذلك ، ثم يرسل الله إليه الملك ، فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات : بكتب رزقه وعمله وأجله وشقي أو سعيد

Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (hal), dan dikatakan kepadanya: Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya kemudian ditiupkan ruh kepadanya.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Merujuk kepada soalan yang diajukan, ijmak Fuqaha’ berpandangan bahawa hukum pengguguran janin yang telah melebihi 40 hari dan belum mencapai 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu. Adapun selain daripada sebab tersebut seperti kecacatan IQ si ibu, maka pengguguran janin tidak diharuskan kerana ia tidak membahayakan nyawa ibu mahupun anak. Pandangan pakar perubatan yang dipercayai perlu dirujuk sebelum sebarang keputusan pengguguran dilakukan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-26 yang bersidang pada 7 Mac 1990 ada menyatakan berkaitan persoalan hukum menggugurkan kandungan di atas nasihat doktor disebabkan kecacatan. Secara ringkasnya, muzakarah membuat keputusan seperti berikut:

(1) Menurut Ijmak Fuqaha’, haram menggugurkan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab-sebab kecacatan yang teruk.

(2) Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hari hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya kepada ibu dan mendapat persetujuan daripada kedua-dua suami isteri.

(3) Ijmak Fuqaha’ berpendapat hukum pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Muzakarah telah mengambil keputusan bahawa adalah haram menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 214

message user image