BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Salam tuan/puan,

Saya nak bertanya, di laman web shopee, banyak video courses orang-orang barat berkaitan pendidikan (Sebagai contoh teknik dan strategi menjana wang, memahirkan kemahiran dalam sesuatu perkara) dijual dengan harga yang sangat murah, sedangkan harga sebenar adalah dari ratusan hingga mencecah ribuan ringgit jika ditukar ke wang kita,

soalan saya, dengan melihat kemampuan kewangan seseorang, apakah hukum dan keberkatan apabila kita membeli barangan ini dan mengambil pelajaran/ilmu dan melaksanakan strategi2 yang kita pelajari dari video2 courses tersebut (personal use) untuk menjana wang/memahirkan diri kita dalam sesuatu perkara?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين الصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين ، أما بعد

Menuntut ilmu dan meningkatkan kemahiran merupakan perkara yang dituntut di dalam Islam. Walau bagaimanapun, ilmu dan kemahiran tersebut mestilah dilaksanakan berlandaskan panduan Hukum Syarak serta tidak terjebak dengan perkara yang diharamkan. Islam tidak melarang umatnya menuntut ilmu dan menambah kemahiran dengan sesiapa sahaja asalkan ianya memberi manfaat menurut neraca Islam.  Anas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda;

طلبُ العلمِ فريضةٌ على كلِّ مسلمٍ ، وإِنَّ طالبَ العلمِ يستغفِرُ له كلُّ شيءٍ ، حتى الحيتانِ في البحرِ

Maksudnya: Menuntut ilmu merupakan kewajipan bagi setiap orang Islam, sesungguhnya penuntut ilmu dimohon keampunnan kepadanya oleh setiap sesuatu termasuk ikan di lautan.

(Riwayat Ibnu Majah)

Telah berkata Imam al-Syafi'i:

من أراد الدنيا فعليه بالعلم، ومن أراد الآخرة فعليه بالعمل

Maksudnya: "Sesiapa yang inginkan dunia maka tuntutlah ilmu, sesiapa yang inginkan akhirat maka beramal.

Namun, kaedah untuk mendapatkan ilmu tersebut hendaklah melalui cara yang dibenarkan oleh syarak dan tidak melibatkan sesuatu perkara yang boleh membawa kepada syubhah.

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, apa yang pihak tuan boleh lakukan adalah dengan mendapatkan kepastian sama ada dengan menanyakan secara terus kepada pihak penjual atau sebagainya mengenai penjualan program pendidikan tersebut. Seandainya penjual mendapat kebenaran daripada pihak pengeluar program pendidikan tersebut untuk menjualnya dengan harga yang murah atau program pendidikan tersebut telah tersebar luas serta mudah untuk memperolehinya, maka diharuskan untuk membelinya. Namun sekiranya penjual tidak mendapat hak atau kebenaran untuk menjual dengan harga sebagaimana yang ditawarkan, maka tidak harus untuk membelinya. Ini adalah kerana ia melanggar hak rekacipta dan ini tidak diharuskan dari segi syarak.

Berhubung keberkatan ilmu yang diperolehi, ia bergantung kepada bagaimana ia diperolehi. Seandainya ia diperolehi dengan cara yang tidak diharuskan dari segi syarak, dikhuatiri kurang keberkatannya. Begitu juga sebaliknya.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 149

message user image