Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang tahi cicak. Pada suatu malam, rumah juga separa gelap ketika saya sedang berjalan ke ruang tamu dari dapur, saya merasa kaki saya terpijak sesuatu yg keras seperti habuk, atau makanan yang telah kering. Ini kerana kadang-kadang anak makan bersepah sehingga cebis makanan jatuh ke lantai. Selalunya yang saya pijak itu adalah cebis makanan yang telah kering jadi saya jalan seperti biasa tanpa lihat tapak kaki. Saya berjalan ke ruang tamu. Kemudian saya duduk dan suluh tapak kaki, rupa-rupanya saya telah pijak tahi cicak sehingga separuh leper. Tahi cicak tersebut melekat di tapak kaki. Saya pun jinjit kaki yang terpijak tahi cicak lalu bersihkan di air paip. Ketika saya bersihkan, saya sedar kaki saya kering. Tahi cicak tersebut boleh kata kering tetapi ada sedikit melekit ketika saya buang dari kaki. Jadi disini saya ingin tanya adakah tempat yang saya lalui dari dapur sehingga ke ruang tamu ketika saya rasa saya terpijak benda keras melekat dikaki perlu dibasuh walaupun tidak sedar itu tahi cicak? Ini kerana setelah duduk baru saya sedar bahawa benda keras itu adalah tahi cicak. Tahi cicak yang boleh kata kering tapi sedikit melekit. Tempat yang saya lalui jugak saya tidak nampak sisa tahi cicak.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Pada asalnya, mazhab Syafie memandang tinja, bahan buangan dan kencing itu najis daripada sekalian haiwan sekalipun binatang yang dimakan dan tidak dimakan. Namun ada beberapa keadaan, yakni berlaku umm al-balwa, keadaan apabila keberadaan najis itu susah dikawal dan dielakkan, seperti tahi burung di masjid, tinja ikan di dalam air dan tinja belalang, dan tinja haiwan yang tidak ada darah mengalir di dalam badannya termasuklah cicak mengikut pandangan sebahagian ulama, maka ia dianggap najis juga, tetapi dimaafkan kerana sukar untuk dielakkan. Oleh itu, jika tahi cicak itu boleh dielakkan, maka jika terpijak, dianggap najis yang perlu dibuang dan boleh merosakkan solat. Namun jika sedikit, dan akibat sukar untuk mengelakkannya, tidaklah merosakkan solat kerana najis itu dimaafkan.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, adapun tapak kaki yang terkena najis cicak hendaklah dibasuh sehingga hilang sifat najis iaitu ain, bau dan rasa. Begitu juga bekas tapak kaki yang dilalui, seandainya terdapat jelas meninggalkan kesan seperti ain najis mahupun bau, maka hanya tempat yang terdapat kesan itu sahaja yang perlu dicuci. Manakala tempat yang tidak terdapat kesan najis, maka ia dimaafkan.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.