BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Bolehkah Muslim membantu membersihkan rumah ibadah  (akibat banjir yg melanda baru2 ini)  non Muslim? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Sikap saling peduli dan bantu membantu menjadi salah satu ciri khas dalam budaya Islam. Islam menggalakkan umatnya untuk berbakti serta melakukan kebaikan bukan kepada saudara seislam, bahkan kepada orang bukan Islam. Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Mumtahanah: 8-9:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (8) إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَى إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (9)

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)

Di dalam suasana masyarakat di Malaysia yang hidup berbilang kaum dan agama, adalah disarankan untuk saling bantu membantu di antara satu sama lain, lebih-lebih lagi sekiranya mereka adalah jiran atau kenalan kita, selama diketahui mereka tidak memburukkan atau memerangi agama Islam.

Namun berdasarkan persoalan tuan, hukum membantu membersihkan rumah ibadah agama bukan Islam adalah dilarang kerana ia termasuk dalam perbuatan tolong menolong dalam perkara dosa dan kemungkaran, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan, dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya). 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 168

message user image