Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya mengenai haid. Saya telah berhenti haid pada tengahari hari ke-7 & telah mandi wajib pada waktu maghrib. Sebelum mandi wajib saya dah check memang tiada darah haid lagi dan cycle haid saya yg normal memang 7 hari sahaja. Pada sebelah malam, saya melakukan hubungan kelamin bersama suami saya. Tetapi setelah selesai, saya baru perasan ada dua titik warna coklat di pantyliner saya (bermakna sebelum bersetubuh sudah ada). Adakah itu darah haid? Perlukah suami saya membayar kafarah atau bagaimana?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد Berdasarkan soalan puan yang berkenaan adakah itu darah haid, perlu diketahui ada tiga tempoh haid, iaitu paling singkat, paling lama, dan kebiasaan.
Bagi permasalahan puan, ada dua aspek yang perlu dilihat untuk menentukan sama ada ianya adalah darah haid ataupun bukan iaitu :- 1) Sekiranya perkara ini berlaku kali pertama ataupun tidak pernah berlaku sebelum ini
2) Sekiranya perkara ini berlaku bukan kali pertama atau pernah berlaku sebelum ini,
Firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 222: "وَيَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَٱعْتَزِلُوا۟ ٱلنِّسَآءَ فِى ٱلْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ ٱللَّهُ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلتَّوّٰبِينَ وَيُحِبُّ ٱلْمُتَطَهِّرِينَ" Maksudnya: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. Berdasarkan maklumat yang diberikan, 2 titik warna coklat pada pantyliner menunjukkan tanda bahawa puan masih lagi berada di dalam keadaan haid. Ini bermakna puan perlu mandi wajib semula selepas memastikan haid telah berhenti. Adapun hubungan kelamin yang dilakukan tanpa mengetahui masih di dalam keadaan haid adalah dimaafkan dan tidak perlu membayar kafarah. Walau bagaimanapun, untuk masa-masa akan datang, seandainya haid telah berhenti pada waktu Zohor dan waktu yang ada cukup untuk mandi wajib dan solat Zohor, maka adalah berkewajipan bagi puan untuk menunaikan solat Zohor. والله اعلم بالصواب
|