Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Saya berusia 61 tahun. Saya mohon pencerahan bersabit hukum-hukum dalam Islam mengenai perkara-perkara tersebut:
1. seorang ahli keluarga yaitu Abang Sulong saya yang menggunakan nama tiga adik-adiknya dalam pembelian saham yang bakal disenaraikan di Bursa saham dalam tahun 80han. Atas desakan kedua-dua ibu bapa dan abang sulong, kami menandatangani borang-borang pelaburan saham atas janji pendapatan dari dividen dan penjualan saham-saham tersebut kelak akan dikongsikan sekiranya pembelian saham berjaya. Berkali-kali pembelian saham atas nama kami adik beradik berjaya.Tetapi selepas lebih 30 tahun, Abang Sulong masih tidak menepati janji. Yang sedih salah seorang adik sudah meninggal dunia pada tahun 2013. Kedua ibu bapa sudah pun kembali ke rahmatullah. Dari segi hukum-hukum apakah perbuatan tidak menepati janji ditafsirkan sebagai hutang? Atau adakah lain-lain kesalahan dalam soal ini?
2. Pada tahun 2012, Abang sulong tersebut menyerahkan satu salinan penyata ASB tahun 2011. Penyata tersebut di bawah nama saya tetapi alamat kediaman beliau. Pada ketika itu saya tidak mempunyai sebarang akaun ASB. Pihak ASB mengesahkan akaun tersebut dibuka pada 15.12.1990, yaitu 21 tahun sebelumnya. Abang saya telah menggunakan nama saya selama 21 tahun dalam simpanan ASB tanpa pengetahuan saya. Dalam tempuh 21 tahun itu satu sen dari pendapatan dividen tidak dikongsikan dengan saya. Adakah dari segi ugama, perbuatan tersebut ditafsirkan satu penipuan?
3. Pada bulan Julai 2014, semasa sambutan hari pertama Hari Raya Aidil Fitri, Abang tersebut menawarkan kerja kepada saya. Pada ketika itu, saya tidak bekerja setelah diberhentikan kerja oleh sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka melalui skim pemisahan secara sukarela. Tetapi dalam proses mendapatkan kerja baru melalui salah sebuah agensi kerja bereputasi. Saya berpendapat tawaran kerja dari abang kandung sendiri lebih wajar diterima sebab pengambilan serta merta. Manakala proses pengambilan kerja agensi pekerjaan memakan masa. Abang saya begitu menyakinkan dengan memperkenalkan produk yang bakal dipasarkan. Abang saya ingin melancarkan sebuah Syarikat jualan barang minyak pelincir aircond keluaran Amerika Syarikat. Pada 4 tahun pertama, saya menemani beliau utk mempasarkan produk tersebut di kalangan institusi-institusi korporat dan syarikat-syarikat terkenal tetapi produk tidak mendapat sambutan. Lebih 30 tempat yg kami lawati, saya tidak diberi gaji. Segala bayaran tol dan minyak kenderaan tanggungan sendiri. Selepas 4 tahun abang saya maklumkan 'kalau ada, ada, tak ada, tak ada" . Saya tak terima sebarang gaji, elaun atau sebarang pampasan. Saya terus menggangur dan tidak diberi upah gaji satu sen pun. Malah hidup saya sengsara. Adakah janji yang tidak ditepati dianggap satu perbuatan penganiayaan? Dan gaji atau sebarang upah yang tak dibayar sebagai hutang?
Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين الصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين ، أما بعد
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, terdapat firman Allah SWT untuk menjadi rujukan bersama, iaitu di dalam surah al-Baqarah ayat ke 188;
وَلَا تَأْكُلُوْٓا اَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ
Maksudnya: Dan janganlah memakan harta orang lain secara batil.
Begitu juga di dalam surah Al-Isra', ayat 34, Allah SWT berfirman:
وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا (34)
Maksudnya: dan sempurnakanlah perjanjian, sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya (dipertanggungjawabkan).
Sabda Rasulullah SAW di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Hurairah RA;
آيَةُ المُنافِقِ ثَلاثٌ: إذا حَدَّثَ كَذَبَ، وإذا وعَدَ أخْلَفَ، وإذا اؤْتُمِنَ خانَ
Maksudnya: Tanda orang munafik ada tiga iaitu apabila dia bercakap dia berbohong, apabila dia berjanji dia mungkiri dan apabila dia mendapat amanah dia khianati
(Riwayat al-Bukhari)
Berikut adalah jawapan kepada persoalan yang diajukan.
Soalan 1:
Setiap janji yang dibuat wajib dilaksanakan samaada janji kepada adik beradik atau orang lain. Hasil pelaburan hendaklah diberikan kepada penama kerana itu merupakan perjanjian asal di antara mereka.Sekiranya tidak diberikan maka ia menjadi hutang yang perlu dilangsaikan kepada adik beradik lain yang berhak kecuali dengan izin atau kerelaan mereka. Kesalahan di sini adalah memungkiri janji dan memakan harta orang lain dengan jalan yang tidak sah.
Soalan 2:
Dari segi agama, perbuatan tersebut ditafsirkan sebagai satu pengkhianatan kepada penama dan mungkir janji yang dilarang dalam Islam.
Soalan 3:
Gaji yang tidak dibayar merupakan hutang yang wajib dilangsaikan oleh majikan kepada pekerjanya seperti yang dijanjikan walaupun pekerja tersebut adalah dari kalangan adik beradik. Ia merupakan hutang yang boleh dituntut oleh pekerja dan wajib dilunaskan oleh majikan kecuali dengan rela pekerja tersebut.
والله أعلم بالصواب