Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ada membeli rantai emas untuk isteri saya dan dibayar secara ansuran. Pada waktu itu saya tidak tahu bahawa haram membeli emas dengan bayaran ansuran. Adakah saya berdosa dan bagaimana kedudukan emas tersebut? Adakah saya tidak boleh menyimpannya atau saya perlu mendermakannya? Terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, pembelian barangan berupa emas mestilah dibuat secara lani atau secara langsung bukan tertangguh (ansuran). Hadis yang diriwayatkan daripada Ubadah Ibnu Samit katanya, Rasulullah SAW bersabda :
الذهب بالذهب والفضة بالفضة والبر بالبر والشعير بالشعير والتمر بالتمر والملح بالملح مثلا بمثل سواء بسواء يدا بيد فإذا اختلفت هذه الأصناف فبيعوا كيف شئتم إذا كان يدا بيد
Maksudnya: “Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, di dalam pertukaran dan jual beli sama jenis hendaklah sama jumlah tukaran, diserah-terima pada masa yang sama, apabila jenis barangan ini berbeza, maka berjual belilah sebagaimana dikehendaki tetapi hendaklah secara serah terima (secara lani)”. (Riwayat Muslim)
Hukumnya dimaafkan jika tuan melakukan pembelian rantai emas pada waktu itu disebabkan tidak tahu (الجهل) bahawa tidak boleh dibeli secara bayaran ansuran. Kaedah fiqah menyatakan :
جهل المكلف بالحكم موجب للعذر
Maksudnya: “Kejahilan mukallaf terhadap hukum, dikira sebagai satu keuzuran”
Sebaik sahaja tuan tahu, maka hendaklah bertaubat dan tidak mengulanginya lagi. Justeru, pemilikannya sah dan barang kemas tersebut boleh digunakan. Jika mempunyai kemampuan tuan hendaklah menyelesaikan bayaran keseluruhan baki harga emas tersebut.
والله أعلم بالصواب