Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya ada dengar cerita di youtube pasal saidatina aisyah r.a difitnah dan nabi s.a.w tak bercakap dengannya untuk masa yang agak lama, betul ke cerita ni? Kalau betul, saya nak tanya, bukankah sikap bersangka baik nabi s.a.w itu tinggi, dan kenapa nabi s.a.w. tak siasat dulu fitnah tersebut. sekian terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين الصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين ، أما بعد
والله أعلم بالصواب
Ujian dan musibah yang paling berat di atas muka bumi ini adalah ujian fitnah. Sejak zaman baginda Rasulullah SAW lagi, sikap golongan munafik yang terus mencipta fitnah, dan tipudaya kemudian mempersembahkan tuduhan tanpa bukti kepada masyarakat, sehingga berlaku permusuhan yang luar biasa.
Merujuk kepada persoalan yang diajukan ianya berkaitan dengan fitnah yang dilemparkan oleh golongan munafik terhadap Saidatina 'Aisyah RA isteri Rasulullah SAW. Kisah ini terkenal dengan istilah (حديث الإفك). Peristiwa Al-Ifki ini berlaku pada tahun keenam hijrah setelah tamatnya perang Bani Mustoliq. Ianya merupakan satu peristiwa di mana orang-orang munafik menuduh Aisyah RA telah berselingkuh dengan seorang sahabat yang bernama Sofwan Bin Mu’attol RA..
Rasulullah SAW telah bertanya kepada Saidatina 'Aisyah RA, jika dia benar melakukannya maka hendaklah bertaubat kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT menerima taubat yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya. Kata-kata Rasulullah SAW tersebut membuatkan Saidatina 'Aisyah RA terluka dan berkecil hati kerana seolah-olah Baginda SAW mempercayai tuduhan tersebut.
Saidatina 'Aisyah RA menjawab kepada Rasulullah SAW dalam keadaan menangis dengan menafikan tuduhan tersebut dan enggan bertaubat kerana dia tidak melakukan maksiat tersebut. Saidatina Aisyah RA berkata bahawa bersabar lebih baik dan hanya kepada Allah SWT sahajalah dia memohon pertolongan atas tuduhan yang dilemparkan kepadanya.
Keadaan ini berlarutan sehingga sebulan lamanya dan wahyu tertahan tidak turun. Sehinggalah kemudiannya Allah menurunkan ayat ke 11 daripada Surah Al-Nur membebaskan Aisyah RA daripada tuduhan jahat kaum munafik. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).”
Lalu Baginda SAW bersabda “Wahai Aisyah, bergembiralah kerana Allah SWT telah membebaskan dirimu.” Lalu Saidatina 'Aisyah RA mengucapkan tahmid kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT telah membersihkan nama Saidatina 'Aisyah RA daripada fitnah itu dengan turunnya wahyu bagi menjelaskan yang beliau tidak bersalah dan jauh daripada fitnah jahat tersebut.
Pengajaran berguna yang boleh kita ambil adalah bahawa umat Islam dituntut untuk sentiasa bersangka baik kepada sesiapa sahaja selagi tidak dapat dibuktikan kesalahan seseorang. Adapun dalam tempoh mencari kebenaran, tiada bukti yang sahih mengatakan Rasulullah SAW tidak bercakap dengan Saidatina 'Aisyah RA sebagaimana dalam hadis yang panjang diriwayatkan oleh Saidatina 'Aisyah RA sendiri berkaitan (حديث الإفك), beliau menyatakan;
أنِّي لا أرَى مِنَ النبيِّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ اللُّطْفَ الذي كُنْتُ أرَى منه حِينَ أمْرَضُ، إنَّما يَدْخُلُ فيُسَلِّمُ، ثُمَّ يقولُ: كيفَ تِيكُمْ
Maksudnya : Sesungguhnya aku tidak melihat kelembutan Nabi SAW seperti dahulu ketika aku sedang sakit (ketika difitnah), sesungguhnya Baginda Nabi SAW masuk dan hanya memberi salam dan bertanyakan "bagaimana keadaanmu?"
(Riwayat al-Bukhari)
Menurut riwayat ini, Nabi SAW bukanlah tidak bercakap dengan Saidatina 'Aisyah RA, akan tetapi hanya terdapat perubahan dalam tingkah laku Nabi SAW terhadapnya yang berkemungkinan sedang dalam keadaan keliru atau tertekan dengan tuduhan fitnah tersebut. Sebagai manusia, emosi seseorang sememangnya akan terganggu apabila diuji dengan sesuatu perkara yang besar tambahan pula Nabi SAW seorang pemimpin kaum muslimin yang tentunya akan memberi kesan yang besar kepada hidupnya dan kepada Islam.
Walaupun dalam keadaan tersebut, Nabi SAW tetap memberi salam dan bertanyakan kabar kepada saidatina 'Aisyah RA berbanding perilaku umatnya di akhir zaman yang mudah melenting dan lebih teruk lagi sehingga bergaduh memukul isteri dengan alasan yang tidak munasabah. Dakwaan Nabi SAW tidak bercakap dengan Saidatina 'Aisyah RA mungkin disebabkan salah faham dan sama sekali tidak benar.
والله أعلم بالصواب