Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum..
Suami mazhab Hanafi ( warga Bangladesh) manakala saya mazhab Syafie.
Kekeliruan saya semasa solat jemaah:-
1) Adakah setiap perbuatan saya perlu sepenuhnya seperti imam(suami)?
2) Suami tidak membaca doa qunut,doa antara 2 sujud .Jadi bagaimana saya sebagai makmum?Perlu baca atau tidak?
3) Bacaan tahiyat akhir yang berbeza jadi saya keliru semasa mengangkat jari telunjuk.Saya tidak tahu waktu untuk mengangkat jari tersebut,adakah sah solat saya?Perlu ke saya baca tahiyat akhir ?
Terima kasih atas jawaban dari pihak Tuan/Puan.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد
Kewujudan pelbagai mazhab merupakan natijah daripada kepelbagaian cara berfikir dalam menentukan hukum dan kedudukan sesuatu perkara menurut perspektif syarak. Ia merupakan manifestasi kebebasan berfikir yang dianjurkan oleh Islam. Islam sebagai agama untuk manusia sejagat sepanjang zaman sangat memahami kerencaman hidup manusia yang berbeza-beza antara sesuatu bangsa, sesuatu tempat dan zaman. Kepelbagaian mazhab dalam Islam, jika difahami dan dihayati secara betul, merupakan satu kekuatan dan rahmat, bukan satu kelemahan dan bencana.
1) Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, setiap makmum tanpa mengira mazhabnya perlu mengikut mazhab orang yang menjadi imam dalam sesuatu solat seperti solat subuh di mana terdapat bacaan qunut pada sesuatu mazhab. Bagi menyelesai masalah ini, kita perlu beramal dengan kaedah yang telah di susun oleh para ulama. Kaedah menyatakan seperti berikut:
Maksudnya: Yang diambil kira (yang perlu diikuti) adalah mazhab imam bukan mazhab makmum.
Sehubungan dengan itu, wajib ke atas makmum untuk mengikuti imam dalam setiap perbuatannya dengan tidak mendahului sedikit pun perbuatan imam. Jika imam itu selesai takbiratul ihram maka baru makmum mengangkat takbiratul ihram, jika imam rukuk maka makmum mengikut rukuk, jika imam iktidal maka makmum mengikut iktidal, dan demikianlah seterusnya. Bagi makmum yang mendahului perbuatan imamnya melebihi dua rukun fi'li, batal solatnya.Ini berdasarkan hadis daripada Rasulullah SAW:
Maksudnya: Sesungguhnya Imam itu dijadikan untuk diikuti. Oleh itu janganlah menyalahi perbuatannya. Apabila dia bertakbir, hendaklah kamu bertakbir, dan apabila dia rukuk hendaklah kamu rukuk. Dan apabila dia membaca (ربَّنا لك الحمدُ), hendaklah kamu membaca (سمِعَ اللهُ لِمَن حمِدَه). Dan apabila dia sujud hendaklah kamu sujud juga. Apabila dia bersolat duduk, kamu juga hendaklah solat dalam keadaan duduk semuanya. (Riwayat Muslim).
2) Berdasarkan soalan puan, maka perlulah puan mengikut setiap perbuatan imam (suami) puan ketika solat berjemaah iaitu tidak membaca doa Qunut ketika berjemaah dengan suami puan. Bacaan doa Qunut pada waktu subuh adalah sunnat ab'ad, maka siapa yang tertinggal membacanya disunatkan dia sujud sahwi. Manakala di dalam mazhab Hanafi tidak disunatkan membaca doa Qunut pada solat Subuh. Oleh itu puan (makmum mazhab Shafi'i) boleh berqunut (qunut ringkas) walaupun imamnya tidak membaca qunut dengan syarat tidak ketinggalan 2 rukun dengan imam. Tetapi jika tidak membacanya langsung, solat puan tetap sah walaupun tidak melakukan sujud sahwi. Keadaan yang sama juga bagi doa ketika duduk di antara dua sujud. Namun meninggalkannya tidak disunatkan untuk sujud sahwi.
3) Bacaan tahiyyat akhir adalah salah satu rukun solat (rukun qawli) yang tidak boleh ditinggalkan. Seandainya ditinggalkan akan menjadikan solat tidak sah. Walau bagaimanapun, perbezaan pada bacaan tahiyyat akhir yang puan baca dan suami puan baca tidak menjejaskan kesahan solat. Ini adalah kerana memang terdapat beberapa versi bacaan tahiyyat akhir yang diamalkan. Bagi mazhab Al-Syafi'i, masa untuk mengangkat jari telunjuk ketika tahiyyat akhir adalah semasa membaca lafaz "إلا الله". Hukum mengangkat jari telunjuk ketika tahiyyat akhir adalah sunat dan meninggalkannya tidak membatalkan solat. Kaedah mengangkat jari telunjuk paling afdhal menurut pandangan mazhab Syafi'i adalah semasa jari diangkat, mata melihat kepada jari itu dan hati kita mengiakan bahawa 'tiada tuhan melainkan Allah'. Jari telunjuk itu terus kekal diangkat tanpa digerak-gerakkan sehingga habis bacaan tahiyyat akhir.
والله اعلم بالصواب