Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya kerja di bidang kreatif, dan apabila saya harus turun bantu shoot untuk musik video, ada satu scene dimana seolah2 penari meniru tarian Buddha hands, dan saya baru tahu tentang tarian itu pada hari shoot. Saya tidak tahu sama ada ianya kebetulan atau betul2 disengajakan, namun adakah saya turut berdosa atas penglibatan seperti berikut?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين الصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين ، أما بعد
Pekerjaan dalam bidang seni kreatif pada asalnya adalah harus menurut Islam. Namun perlu difahami bahawa penentuan hukum pekerjaan tersebut tertakluk kepada isi kandungan karya seni yang dihasilkan. Sekiranya hasil karya tersebut selari dengan asas agama Islam serta meninggalkan kesan yang baik dalam diri dan masyarakat, maka jelas ia diharuskan. Namun apabila sesebuah karya yang dihasilkan melibatkan perkara yang tidak dibenarkan seperti perempuan yang menari, tidak menutup aurat, lebih-lebih lagi jika perkara tersebut melibatkan sesuatu yang boleh merosakkan akidah umat Islam, maka ia adalah dilarang.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat ke 2:
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa dan janganlah tolong - menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.
Penghasilan muzik video yang memaparkan kelibat penari meniru tarian Buddha Hands adalah tindakan meniru dan mempromosi budaya agama lain yang tidak dibenarkan di dalam Islam. Oleh itu, penghasilan muzik video seperti ini adalah diharamkan kerana termasuk dalam perkara yang membantu menyebarkan perkara yang dilarang.
Rasulullah SAW bersabda:
مَن تَشبَّهَ بقَومٍ فهو منهم
Maksudnya:Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia juga dikira dari dari kalangan mereka.
(Riwayat Abu Daud)
Oleh yang demikian, sekiranya tuan terlibat dalam rakaman muzik video tarian tersebut, maka tuan dianggap turut bersyubahat di dalam melakukan perkara yang dilarang dan diharamkan.
والله أعلم بالصواب