BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan mufti. Saya ada beberapa soalan:

1. Saya ada penyakit kulit yg menyebabkan saya selalu luka dan berdarah. Darah itu pula terkena pada pakaian. Apakah hukum air dalam baldi yg direndam di dalamnya pakaian yang terkena najis dimaafkan seperti darah yg sedikit. Adakah air itu dikira air mutannajis. Saya harap ada pandangan yang dapat memudahkan saya. 

 

2. Apabila saya luka, saya letak plaster pada luka tersebut. Selepas luka itu sudah tidak berdarah, saya cabut plaster itu. Apabila plaster itu dicabut, terdapat getah plaster yg melekat pada kulit di sekeliling luka. Saya gosok kawasan itu dengan air sebelum berwudhu', tetapi tidaklah dengan kuat kerana khuatir luka itu akan terkoyak dan berdarah semula. Selepas digosok, saya ambil wudhu' untuk zohor. Pada waktu isyak, getah tersebut dengan sendirinya tercabut dari kulit saya. Soalannya, adakah saya perlu qadha' solat zohor, asar dan maghrib kerana dikira wudhu' tidak sah disebabkan getah plaster itu mungkin menghalang air? 

 

3. Haritu saya solat jumaat di sebuah masjid. Semasa khutbah, saya ternampak warna merah yang macam kesan darah selepas kita bunuh nyamuk. Saya ingin basuhnya di tempat wuduk, tapi saya terpijak lantai tempat berwuduk itu yang basah. Saya tidak basuh tempat terpijak itu dan terus masuk semula ke masjid. Setahu saya, masjid itu dibuka kepada pelajar pada hari biasa dan kepada luar pada hari jumaat. Soalan saya, jika ada pelajar yang terpijak tempat itu dan berjalan merata-rata sehingga menyebabkan solatnya dan orang lain tidak sah, adakah saya berdosa? Bagaimana saya ingin selesaikan perkara ini? 

 

4. Jika seseorang sedang membasuh muka semasa wudhu, kemudian tangannya terkena rambut beserta lintasan hati ingin membasuh rambut. Adakah wudhu'nya dikira tidak sah kerana dikira tidak mengikut tertib?

Terima kasih tuan mufti


message user image

Jawapan  

  وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

1. Darah merupakan salah satu najis yang wajib dibasuh sehingga bersih. Oleh itu, pakaian yang terkena darah wajib  dibersihkan terlebih dahulu sebelum dicampur atau dibasuh dengan pakaian lain. Memandangkan luka tersebut datang dari penyakit kulit yang dihidapi maka asingkanlah baju yang terkena darah dengan pakaian lain sebagai langkah berjaga-jaga. Namun jika pada 'uruf atau kebiasaan orang ramai menilainya sebagai sedikit, maka ia dimaafkan.

2. Getah plaster penampal luka kebiasaannya akan menghalang air dari terkena kulit anggota wuduk seseorang, oleh itu ianya perlu dibersihkan sebelum mengambil wuduk bagi membolehkan air wuduk diratakan ke seluruh anggota wuduk. Sebagai langkah berhati-hati elok diganti dengan plaster yang lebih mudah dibersihkan. Jika getah yang melekat itu pada 'uruf atau kebiasaan orang ramai menilainya sebagai banyak, maka solat perlu diganti semula kerana getah tersebut telah menghalang air dari terkena anggota wuduk.

3. Darah nyamuk atau serangga lain yang pada 'uruf atau kebiasaannya sedikit merupakan darah yang dimaafkan, oleh itu tidak timbul isu najis akan merata kerana dipijak oleh pelajar sekolah. 

4. Gangguan seperti ini merupakan was-was dalam hati yang perlu diikhtiarkan untuk dirawat. Tangan terkena rambut itu merupakan sebahagian dari perbuatan yang terpaksa dilakukan bagi menyempurnakan wuduk bagi setiap orang yang ditumbuhi rambut di kepalanya kerana had batas kepala adalah sehingga 'manabatu al-sya'ru' atau tempat tumbuh rambut, oleh itu lintasan yang datang hanya gangguan syaitan yang tidak memberi kesan kepada wuduk itu, oleh itu, abaikan lintasan tersebut dan teruskan berwuduk seperti biasa.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.                                                                     


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 785

message user image