Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamu’alaykum YBhg. Sahibus Samahah Dato’ Mufti. Berikut soalan saya:
1) Hukum mukabbir di surau/masjid pada zaman ini, dalam keadaan mikrofon-speaker berfungsi dan jelas didengari makmum.
2) Melantik diri sendiri menjadi mukabbir sehingga menimbulkan persoalan jemaah lain?
3) Mukabbir berpendapat untuk makmum lain bergerak mengikut imam perlu selepas dia melaungkan takbir.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين الصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين ، أما بعد
Seseorang yang meninggikan suara ketika takbir dalam solat berjamaah supaya makmum yang lain mengetahui pergerakan imam dinamakan sebagai muballigh ( مبلغ ). Muballigh hanya berperanan untuk membantu pergerakan makmum ketika suara imam tidak didengari atau tidak jelas. Perkara ini pernah dilakukan oleh Abu Bakar RA apabila beliau mendengar suara Rasulullah SAW agak perlahan kerana kurang sihat. Kisah ini diriwayatkan oleh Aisyah RA;
أنَّ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ كان وَجِعًا، فأمَرَ أبا بَكرٍ أنْ يُصلِّيَ بالنَّاسِ، فوجَدَ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ خِفَّةً، فجاء، فقعَدَ إلى جَنبِ أبي بَكرٍ، فأمَّ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ أبا بَكرٍ وهو قاعدٌ، وأمَّ أبو بَكرٍ النَّاسَ وهو قائمٌ.
Maksudnya: Pada suatu hari Rasulullah SAW kurang sihat, lalu Baginda SAW mempersilakan Abu Bakar RA untuk solat bersama para sahabat yang lain, kemudian baginda SAW merasa kurang sakit lalu duduk di sebelah Saidina Abu Bakar RA untuk menunaikan solat. Baginda SAW telah mengimamkan Abu Bakar RA dalam keadaan duduk dan Abu Bakar mengimamkan (menjadi muballigh) kepada jamaah yang lain dalam keadaan berdiri.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Adapun jika suara imam dapat didengari dengan jelas oleh makmum sama ada melalui pembesar suara dan sebagainya, maka tiada keperluan untuk seseorang menjadi muballigh sama ada dengan lantikan diri sendiri atau orang lain kerana solat berjamaah telah dapat dilaksanakan dengan sempurna walaupun tanpa bantuan muballigh. Dalam keadaan ini, tidak dianjurkan kepada sesiapa untuk menjadi muballigh kerana bimbang suara muballigh akan mengganggu tumpuan jamaah yang lain ketika solat.
Pada asalnya, makmum perlu bergerak dari satu rukun perbuatan kepada rukun perbuatan yang lain berpandukan kepada takbir imam dan bukanlah kepada takbir muballigh. Takbir muballigh hanya dijadikan pedoman makmum lain pada ketika suara imam tidak didengari.
والله أعلم بالصواب