Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan, saya harap tuan dapat menyelesaikan kerisauan saya. Saya pernah mengerjakan umrah beberapa tahun lalu. Namun sejak kebelakangan ini timbul isu was was dan terdetik di hati saya bahawa saya mungkin pernah terkentut ketika hendak melakukan tawaf (umrah pertama). Saya cuba ingat kembali akan perkara tersebut tetapi saya telah lupa kerana telah lama berlalu dan saya masih remaja ketika itu. ( saya ingat bahawa saya teruskan tawaf, saie dan bercukur) Saya menjadi ragu ragu dan memikirkan adakah tawaf saya tidak sah dan perlu membayar dam. Pada mulanya saya yakin namun lama kelamaan hati saya mengatakan bahawa saya telah batal wuduk pada waktu tersebut. Apakah yang perlu saya lakukan sedangkan saya benar benar lupa. Adakah saya masih dalam ihram ?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته ...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه
Merujuk kepada persoalan saudara, jika dirujuk kepada pernyataan puan iaitu "Pada mulanya saya yakin" itu sudah mencukupi untuk menidakkan segala perkara yang was-was dan tidak bermaksud mempermudah-mudahkan dalam melakukan segala amal ibadah yang telah dipertanggungjawabkan. Ia selaras dengan dengan kaedah fiqh iaitu
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan dengan keraguan.
Ia bermaksud sesuatu perkara yang sudah diyakini, apabila timbul keraguan selepas itu tidak akan menjejaskan keyakinan yang ada dan ia juga bermaksud keyakinan yang asal tidak boleh ditinggalkan hanya disebabkan keraguan atau syak. Seperti contoh dalam situasi yang Puan nyatakan, sekiranya yakin dalam keadaan berwuduk tetapi syak telah berhadas, maka Puan sebenarnya dalam keadaan berwuduk kerana yakin masih dalam berwuduk, sedangkan batalnya masih diragukan.
Sehubungan itu, perkara was-was ini hendaklah ditinggalkan, berdoalah dengan memohon pertolongan daripada Allah SWT supaya dilindungi daripada syaitan yang membisikkan keraguan dalam hati dan lazimi lidah dengan sentiasa berzikir supaya hati akan menjadi lebih tenang.
والله أعلم بالصواب