BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Anak perempuan umur 3 tahun masih memakai lampin pakai buang. Pada 1 malam setelah saya buka lampin pakai buangnya, anak hanya kencing sahaja didalam lampin itu, saya membasuh kemaluan anak saya seperti biasa iaitu dengan cara tangan kiri telah bersabun, tangan kanan memegang salur getah yang ada air mengalir berterusan. Kaki dan betis juga selalunya akan terkena percikan air basuhan. Kebiasaannya setelah membasuh sehingga tiada bau lagi, saya akan cuci betis dan kaki saya. Walaubagaimana pun pada malam tersebut, saya lupa cuci betis dan kaki saya. Betis saya basah. Setelah saya duduk bangun, baru saya sedar saya terlupa cuci betis saya. 

Soalannya :

1) Adakah air percikan basuhan dikira najis? Kerana selama ini saya fikir tidak najis kerana tiada zat najisnya. Dalam kes ini terdapat banyak air percikan basuhan pada betis saya yang tidak ada zat najis (rasa, bau,warna). Cuma ada air percikan sahaja. 

2) Sekiranya air percikan dihukum najis, sebelum menyedari saya belum cuci betis dari air percikan basuhan tersebut, saya ada menyarung kain batik. Setelah sedar, saya lihat betis telah kering. Setelah itu saya singsing kain batik ke atas lalu saya cuci betis saya. Setelah itu saya duduk. Kain batik yg saya pakai tadi lembap. Ada kemungkinan kain itu lembap kerana sebelum saya cuci kemaluan anak saya, saya ada mengelap badan saya yang kena air dengan kain batik itu. Ada kemungkinan juga saya terlap air percikan basuhan pada betis sehingga kering dengan kain batik kerana lembapnya masih terasa, seperti baru. Adakah kain batik itu dikira najis?

3) Adakah tempat2 yang terkena lembapan kain batik dikira najis? Saya memakai kain batik yang lembap itu, kemudian dukung bayi dan duduk. Ketika itu barulah saya google bahawa air percikan boleh juga dikira najis jika tidak cukup syarat. Selepas itu saya sedar pakaian bayi menyerap lembapan kain batik itu. Tempat duduk pun lembap. Saya hidu kain batik yang lembap itu, tiada apa2 bau.  Saya juga tidak basuh tempat2 yang terkena lembapan kain itu kerana saya penat dan stress terlalu berwas-was sama ada itu dihukum najis atau tidak. Selama ini saya fikir syarat air percikan basuhan tidak dihukum najis jika tiada zat najis tersebut. 

 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu kawasan itu terkena najis melalui ain, warna, bau dan rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. Merujuk kepada persoalan tuan, :

1) Sekiranya diyakini percikan air itu mengandungi najis, maka ia adalah air mutanajjis. Badan atau baju yang terkena percikan air tersebut perlu dibasuh atau disucikan. Walau bagaimanapun, sekiranya air percikan itu tidak mengandungi najis atau diragui, maka air percikan itu bukan najis. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh pengarang Kitab al-Fiqh al-Manhaji :

“Islam agama yang bersih, untuk itu wajib menghilangkan najis walau di mana keberadaannya. Memelihara diri daripada najis, dan menjadi bersih dari najis adalah syarat sah solat sama ada pada pakaian ataupun badan ataupun tempat solat. Sesungguhnya agama meraikan kemudahan dan menghilangkan kesusahan. Maka dimaafkan sebahagian najis disebabkan kesusahan untuk menghilangkannya atau kesusahan untuk menjaga daripada terkena najis tersebut, agar menjadi kemudahan kepada manusia, dan mengangkat kesusahan daripada manusia. Contohnya, percikan air kencing yang sedikit yang tidak dapat dikesan dengan penglihatan mata yang sederhana jika terkena pakaian ataupun badan, sama ada najis mughallazah ataupun najis mukhaffafah ataupun najis mutawassitah.” 

2) Keadaan yang sama seperti di atas, seandainya diyakini percikan air itu mengandungi najis maka air yang terpercik darinya adalah najis dan kain batik yang terkena air tersebut turut bernajis. Akan tetapi sekiranya diragui, maka percikan air tersebut bukan najis dan ianya suci. 

3) Kain batik yang diyakini lembap sebab terkena air yang bernajis adalah menanggung najis dan mana-mana tempat yang basah disebabkan dari kain batik tersebut juga turut bernajis dan perlu dibersihkan dan disucikan. Bagi mengelakkan dari perasaan was-was berkaitan najis tersebut, kembali kepada kaedah Fiqh yang menyatakan:

الأصل بقاء ما كان على ما كان

Maksudnya: Hukum asal bagi sesuatu adalah kekalnya ia pada kedudukan asalnya.

Ini bermaksud, hukum asal sesuatu perkara itu adalah suci. Ia hanya akan menjadi mutanajjis (bernajis) sekiranya diyakini terkena najis. Mensyaki sesuatu itu terkena najis tidak menjadikan ia bernajis berdasarkan kepada kaedah Fiqh: 

اليقين لا يزول بالشك

Maksudnya: Sesuatu yang diyakini tidak dapat dihilangkan oleh rasa syak (atau ragu-ragu). 

Para ulama’ amat mengambil berat mengenai penyakit was-was kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik. Ini kerana pada asalnya, tiada najis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak terdapatnya najis.   

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 1144

message user image