BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. Saya nak bertanya berkenaan cerai. Jika seorang suami itu bernikah nombor 2 di luar malaysia contohnya di siam tetapi tidak pernah mendaftar pernikahan di malaysia kerana takut isteri pertama tahu. apabila isteri pertama dapat tahu berkenaan isteri kedua, suami mengatakan mereka betul sudah berkahwin tapi die telah pun menceraikan bini ke dua dengan talak tiga. Soalan pertama, adakah jatuh talak kepada isteri kedua bila suami berkata kepada isteri pertama yang dia telah menceraikan isteri kedua dengan talak tiga. Pengakuan cerai itu adalah diantara isteri pertama dan suami sahaja.. Soalan kedua, isteri pertama meminta bukti cerai dari suami tetapi si suami mengatakan tiada bukti boleh ditunjuk kerana perkahwinan tidak didaftarkan tetapi bersungguh menyatakan mmg sudah bercerai dan cerai tidak perlu didaftarkan lagu kerana perkahwinan tidak pernah didaftarkan. Soalan ketiga, dalam isu ini bolehkah berkongsi apa hak isteri pertama apabila berlakunya suami berlaku curang dan nikah lagi 1 tanpa pengetahuan isteri 1. Soalan terakhir, jika isteri pertama membuat keputusan untuk memaafkan dan membuka lembaran baru dengan janji dari suami yang akan setia, akan tetapi si isteri masih ragu ragu hanya disebabkan status penceraian dengan bekas isteri kedua kerana tiada bukti yang kukuh.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, 1. Pernyataan tersebut adalah khabar yang tidak diketahui kebenarannya. Pengesahan khabar tersebut perlu disahkan oleh pihak Mahkamah Syariah. Lafaz talak tidak disyaratkan diucapkan dihadapan isteri yang diceraikan. Walau bagaimanapun, isteri tersebut berhak mengetahui secara jelas bahawa dia telah diceraikan. Suami bertanggungjawab menjelaskan sama ada talak telah berlaku atau belum. 2. Pernikahan tersebut hendaklah didaftarkan terlebih dahulu sebelum pendaftaran perceraian boleh dilakukan. Disarankan supaya mengemukakan status perkahwinan dan perceraian mereka ke Mahkamah Syariah/ Pejabat Agama Islam yang berdekatan. 3. Hak seorang isteri adalah sama walaupun suami telah bernikah untuk kali kedua iaitu hak terhadap nafkah zahir dan batin, harta sepencarian, hak menerima pusaka (kecuali isteri yang diceraikan) dan sebagainya dengan syarat isteri tersebut tidak nusyuz terhadap suaminya. 4. Perbuatan memaafkan itu adalah lebih baik, selagi perkahwinan ini masih boleh diselamatkan dan tidak berlaku شقاق (pertengkaran, permusuhan dan seumpamanya). Jika puan masih ragu, pihak suami hendaklah menyelesaikan masalahnya dengan cara yang betul mengikut prosedur dan undang-undang perkahwinan agar tiada penipuan disebaliknya sehingga menimbulkan masalah yang berpanjangan di kemudian hari. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 376

message user image