Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz.saya mempunyai satu penyakit,saya buleh berdiri dan melakukan kerja harian seperti biasa.tapi bila duduk..saya susah untuk berdiri.untuk berdiri saya perlu berpaut atau dibantu orang lain.
Untuk memulakan solat,saya berdiri seperti biasa.mampu rokuk dan sujud.masaalah mula berlaku untuk rakaat yang kedua.saya tidak lagi mampu berdiri dan meneruskan solat secara duduk bersipuh dan mampu sujud seperti biasa sehingga selesai solat.adakah betul cara yang saya lakukan?
Sekiranya saya solat dan sujud separuh mengunakan kerusi,saya mampu berdiri semula tanpa bantuan.persoalanya,mana lebih afdal?
Sembahyang berdiri dan sujud separuh mengunakan kerusi dan mampu berdiri semula atau sembahyang berdiri untuk rakaat pertama dan sembahyang duduk dan mampu sujud seperti biasa untuk rakaat seterusnya?
Semoga ustaz sentiasa dilindungi dan diberkati ALLAH S.W.T.trima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين الصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين ، أما بعد
Secara asasnya, solat yang akan dilaksanakan hendaklah memenuhi syarat dan rukun yang telah di ajar oleh Rasulullah SAW. Malik ibnu al-Huwairith RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda;
صلُّوا كما تَروني أصلِّي
Maksudnya: Solatlah sepertimana kamu melihat aku solat.
(Riwayat al-Bukhari)
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, berdiri dalam solat adalah termasuk dalam rukun perbuatan (ركن فعلي) dalam solat. Seseorang muslim yang mukallaf wajib berusaha menyempurnakan setiap rukun solat sedaya yang mampu dan keringanan (رخصة) hanya diberikan apabila seseorang yang tidak mampu menyempurnakan sesuatu rukun solat atas sebab-sebab tertentu.
Secara khusus bagi situasi yang tuan hadapi, tuan hendaklah memulakan solat dengan berdiri tegak (قيام), rukuk, iktidal dan sujud seperti biasa bagi rakaat yang pertama. Adapun untuk rakaat yang kedua, sekiranya ada pembantu atau alat seperti tongkat yang boleh membantu tuan untuk berdiri semula, maka tuan wajib berdiri dan menyempurkan setiap rukun seperti biasa. Sebaliknya jika tiada bantuan, harus bagi tuan untuk menyempurnakan secara duduk di atas lantai. Sekiranya keuzuran hilang ketika solat dan tuan mampu berdiri semula, maka tuan wajib berdiri semula untuk menyempurnakan solat.
Adapun solat berdiri dan sujud separuh menggunakan kerusi lalu berdiri semula adalah lebih afdhal berbanding dengan solat berdiri pada rakaat pertama lalu duduk untuk rakaat seterusnya. Ini adalah kerana qiyam atau berdiri merupakan tuntutan asal solat bagi mereka yang mampu sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW:
«صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ»
(ٌRiwayat Al-Bukhari)
Maksudnya: Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.
والله أعلم بالصواب