Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Apakah hukum muntah yang tersangkut di tekak dan boleh merasa makanannya lagi dan terus tertelan kerana tersangkutnya muntah itu di tekak ketika solat? berkemungkinan jugak boleh jadi kahak yang bercampur dengan bau makanan yang kita baru makan
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد
Merujuk kepada imam Nawawi di dalam kitabnya ada menyatakan: "Dan sekiranya makanan yang terlekat di celahan gigi kemudian ditelan makanan tersebut dengan sengaja atau sesuatu yang turun daripada kepala kemudian ditelannya secara sengaja, maka batal solatnya tanpa ada khilaf fuqaha'. Selain itu, sekiranya menelan sesuatu yang sukar dihalang seperti bercampurnya air liur dengan makanan, tanpa sengaja atau menelan kahak yang sukar untuk menghalangnya, maka tidaklah batal solatnya". Dalam hal ini, Dr. Muhammad Zuhaili menyatakan sekiranya di antara celahan gigi terdapat sisa makanan yang kadarnya tidak sebesar kacang kuda, dan menelannya tanpa disengajakaan maka tidak membatalkan solatnya. Dan sekiranya sebaliknya maka batal solatnya. Begitu juga tidak membatalkan solatnya sekiranya menelan air liur yang banyak.
Berbalik kepada persoalan Tuan, menelan kembali muntah yang telah sampai ke bahagian mulut boleh menyebabkan solat seseorang itu batal. Namun, jika muntah tersebut belum sampai ke bahagian mulut dan masih di kerongkongnya maka menelannya kembali tidak membatalkan solat. Begitu juga dalam masalah kahak.
والله أعلم بالصواب