Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya merupakan pekerja di sebuah syarikat milik pengurusan berbangsa Cina dan hampir 80% pekerja adalah berbangsa Cina. Ketika perayaan Tahun Baru Cina, saya telah di arahkan untuk menghias pejabat dengan perhiasan tahun baru cina seperti tanglung, bunga, pelekat tahun baru cina, dan lain-lain bagi menyambut tahun baru cina. Saya juga diarahkan membeli perhiasan tersebut. Adakah boleh saya berbuat demikian? sebagai niat untuk dekorasi pejabat bagi memeriahkan sambutan tahun baru cina? terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Melihat kepada hakikat sambutan Tahun Baru Cina, ianya merupakan satu perayaan adat yang tidak ada kaitannya dengan permasalahan akidah. Ianya semata-mata menyambut tahun baru mengikut kalendar lunar Cina. Ini menjadi kayu pengukur buat seorang Muslim dalam bermuamalah dan bergaul bersama orang bukan Islam dengan melihat adakah tindak-tanduknya itu menjurus kepada sikap reda terhadap akidah mereka ataupun hanya perbuatan yang dilakukan atas dasar kemasyarakatan dan hubungan sosial.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.
Walau bagaimanapun, sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.
Merujuk persoalan puan, hukum menghias pejabat dengan memasang Tanglung, Bunga, Pelekat Tahun Baru Cina dan lain-lain bagi menyambut Tahun Baru Cina atas sebab arahan pihak majikan dengan syarat tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka adalah harus.
Puan juga boleh rujuk garis panduan yang dikeluarkan oleh JAKIM berkaitan orang Islam merayakan hari kebesaran orang bukan Islam di pautan berikut: http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/assets/files/old-site/garis_panduan_orang_islam_turut_merayakan_hari_kebesaran_agama_orang_bukan_islam.pdf
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.