Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt kepada pihak mufti negeri Selangor.
Saya ada satu kemusykilan yang ingin meinginkan kepastian. Apakah hukumnya jika saya ingin membuat rawatan 'hair patching' disebabkan kepala saya hampir botak di bahagian atas kepala disebabkan keguguran rambut? Hal ini menyebabkan saya kurang berkeyakinan tinggi dan selalu dipersendakan oleh orang sekeliling. Saya kongsikan sekali link video bagaimana hair patching dilakukan:
Saya difahamkan rambut ini diperbuat daripada bahan sintetik yang bukan daripada manusia atau haiwan. Oleh itu ingin saya mendapatkan kepastian hukum jika saya ingin mendapatkan rawatan 'hair patching' ini. Adakah sah solat dan mandi wajib saya jika saya memakainya? Saya berharap pihak mufti Selangor dapat memberi jawapan kepada pertanyaan saya ini. Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Berdasarkan kepada video yang dilampirkan, seoalah-olah hair patching ini adalah pemakaian rambut palsu yang ditampal di atas kulit kepala sama ada secara kekal atau boleh ditanggalkan. Pastinya jika ianya masih terletak di atas kepala, ia akan menghalang aliran air dari mengenai kulit kepala ketika mandi hadas mahupun berwuduk, yang menyebabkan kedua-duanya menjadi tidak sah.
Bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW;
Daripada Asma’ binti Abi Bakr RA, bahawa seorang wanita datang menemui Rasulullah SAW lalu mengadu kepadanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai seorang anak perempuan yang baru menikah. Dia telah terkena penyakit cacar sehingga menyebabkan rambutnya keguguran. Bolehkah saya menyambung rambutnya (dengan rambut palsu)? Lalu Baginda SAW bersabda:
لَعَنَ اللَّهُ الْوَاصِلَةَ وَالْمُسْتَوْصِلَةَ
Maksudnya: “Allah melaknat al-washilah (orang yang menyambung rambut) dan al-mustaushilah (orang yang minta disambungkan rambutnya).” (Riwayat Muslim)
Kesimpulannya, hair patching adalah sama sebagaimana hukumnya memakai rambut palsu dan ia bertepatan dengan hadis di atas. Walaupun hadis menumpukan kepada wanita, tetapi hukumnya tetap sama dan ia lebih berat kepada lelaki kerana tiada keperluan kaum lelaki untuk memakai rambut palsu.
Hujah kenapa Islam mengharamkan pemakaian rambut palsu adalah kerana akan wujud penipuan penampilan imej yang boleh memberi kesan buruk pada pihak yang lain. Alternatif lain boleh digunapakai adalah rawatan tanam rambut sebagaimana yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang dikeluarkan pada 14 Jun 2011, iaitu:
“Menanam rambut di kepala adalah harus dengan syarat penanaman rambut adalah menggunakan rambut sendiri dengan menggunakan bahan-bahan yang suci dan tiada unsur najis serta tidak mendatangkan sebarang kesan yang boleh memudharatkan.”
والله أعلم بالصواب