Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
jika seseorang menggunakan perkataan murtad dgn tujuan untuk memberitahu ingin meninggalkan sesuatu perkara tetapi bukan untuk keluar dari islam sebagai contoh "saya nak murtad dari pertanian" dgn maksud utk bertukar bidang dari pertanian ke bidang lain, ataupun seperti kebiasaan yang saya dengar apabila ada orang mengatakan contohnya "aku bugis murtad" dengan maksud untuk memberitahu yang dirinya tidak lagi tahu berbahasa melayu bugis, untuk kedua-dua keadaan ini, apakah jatuh murtad orang yang menggunakan perkataan murtad itu sekalipun bukan berniat untuk keluar dari islam?
Kemudian jika orang yang seperti dalam kedaan diatas itu telah berkahwin, adakah perlu untuk akad nikah semula?
pencerahan dari pihak jabatan mufti amat saya hargai dan daya dahului dengan ucapan terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Dari segi bahasa, murtad atau riddah merupakan isim masdar daripada perkataan اِرْتَدَّ يَرْتَدُّ اِرْتِدَادًا membawa maksud beralih daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain. Murtad dari segi istilah pula bermaksud beralih daripada Islam kepada agama atau anutan lain. Akidah boleh terbatal sama ada melalui perkataan, perbuatan dan pengakuan. Justeru, membuat pengakuan melalui perkataan “Murtad” dengan niat merupakan antara ciri yang boleh membatalkan akidah. Maka wajib bersyahadah dan bertaubat kepada Allah SWT.
Merujuk persoalan tuan, kata-kata seperti “saya nak murtad dari pertanian” dan "aku bugis murtad" yang diucapkan membawa maksud bukan beralih daripada agama Islam kepada agama atau anutan lain. Hal ini tidak menyebabkan akidah seseorang terbatal dan tidak wajib bersyahadah serta status perkahwinan masih sah sebagai suami isteri.
Di samping itu, sentiasa memperbaharui keimanan, sesuai dengan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Bermaksud: Perbaharuilah iman kamu, Rasulullah ditanya: Bagaimana cara untuk memperbaharui iman kami. Rasulullah SAW bersabda: Perbanyakkan ucapan لا اله الا الله.
(Riwayat Ahmad)
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.