Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Ibu saya sedang sakit tenat sekarang. Terlantar di rumah kerana tiada apa rawatan yang dapat di lakukan lagi kerana keadaan agak kronik. Bolehkah saya sebagai anak berdoa kepada Allah dengan permintaan seperti biarlah saya menanggung sakit ibu saya agar ibu saya boleh sembuh atau terus diberikan kesihatan dan kekuatan.
Bolehkah pihak Tuan memberikan sedikit pencerahan tentang doa yang boleh saya amalkan untuk ibu saya.
Sekian terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Sebagai seorang anak sudah tentu merasa hiba dan sayu melihat keadaan ibu yang sedang sakit tenat, sehinggakan ingin berdoa agar kesakitan itu dapat ditanggung olehnya. Dalam hal ini Islam mengajarkan umatnya supaya memohon kepada Allah SWT agar diberi kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan berbanding meminta supaya sakit itu ditimpakan kepadanya atau meminta supaya dimatikan. Hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Jangan sesekali kamu meminta kematian kerana suatu musibah yang menimpa. Jika kamu hendak meminta juga, maka doalah sebagai berikut :
اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتِ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِيْ وَتَوَفَّنِيْ مَا كَانَتِ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِيْ
Maksudnya: "Ya Allah, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik untukku, matikanlah daku selagi mati itu lebih baik untukku". (Riwayat Muslim)
Sebaiknya, anak hendaklah mendoakan ibu agar diberi kesembuhan dan kesihatan, kerana Allah itu Maha Berkuasa menyembuhkan segala jenis penyakit.
Terdapat doa yang saudara boleh amalkan bersandarkan doa yang diriwayatkan daripada saidatina 'Aisyah RA, Nabi SAW memperlindungkan ahli keluarga baginda dengan menyapu tangan kanan baginda dan membaca :
اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ أَذْهِبِ الْباَسَ وَاشْفِهِ وَأَنْتَ الشَّافِيْ لاَ شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا
Maksudnya : "Ya Allah, Tuhan sekalian manusia, hilangkanlah kesakitan, sembuhkanlah ia dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyembuh, tiada kesembuhan melainkan dengan kesembuhan-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan kesan lain" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hanya sekiranya doa itu untuk seorang perempuan, tukar perkataan (وَاشْفِهِ) kepada (وَاشْفِهَا).
والله أعلم بالصواب