BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Salam, saya sdg mencari kerja dan saya mahu bekerja dalam bidang food and beverage. Namun, di tmpt shopping mall yang saya hendak kerja, banyak restoran/kedai yg menawarkan diskaun krismas/gong xi fa cai dan lain2. Terdapat juga perhiasan perayaan lain dan offer dari shopping mall seperti (contoh beli rm100 tebus percuma beg tahun harimau).

 

Apakah hukum bekerja disitu dan adakah saya dikira terlibat?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

 إنَّ الحَلالَ بَيِّنٌ، وإنَّ الحَرامَ بَيِّنٌ، وبيْنَهُما مُشْتَبِهاتٌ لا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌمِنَ النّاسِ، فَمَنِ اتَّقى أُذُنَيْهِ، الشُّبُهاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وعِرْضِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya”.  (Riwayat Muslim)

Kayu pengukur bagi seorang Muslim dalam bermuamalah atau bergaul bersama orang bukan Islam adalah dengan melihat sama ada tindak-tanduknya itu menjurus kepada sikap reda terhadap akidah mereka ataupun hanya perbuatan yang dilakukan atas dasar kemasyarakatan dan hubungan sosial. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.

Walau bagaimanapun, sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam. Berdasarkan kepada penerangan pihak tuan, pekerjaan yang dijalankan tidak menjurus kepada syubhah atau haram. Oleh itu, tuan boleh bekerja di tempat tersebut.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 168

message user image