BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz/ Ustazah. Maaf ganggu. 
Izinkan saya bertanya beberapa soalan. 

1. Apakah hukum pemakaian inggu bagi seorang ibu hamil? Ada yg mengatakan inggu itu dianggap sebagai menjaga diri semasa mengandung. Apakah keburukan atau kesan sampingan sekiranya ibu hamil tersebut mengamalkan pemakaian inggu? Dan adakah ianya sesuatu perbuatan yang menyekutukan Allah.

2. Kebiasaannya seseorang yang mengalami gangguan jin atau sihir itu akan berikhtiar dengan perawatan Islam. Lazimnya bahan yang selalu digunakan adalah garam dan lada hitam bagi merawat pesakit tersebut. Sekiranya garam digantikan dengan beras dan lada hitam, adakah ia dibolehkan dalam merawat gangguan jin dan sihir itu? 

Mohon pencerahan dari Ustaz/ Ustazah.

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام  ورحمة الله وبركاته 

..الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan saudari,

1. Inggu merupakan pemakaian tangkal oleh ibu-ibu mengandung yang diamalkan sejak dahulu dengan kepercayaan bahawa ia boleh menghindarkan diri daripada sebarang penyakit, menolak gangguan sihir serta boleh membawa kebaikan kepada mereka. Anggapan atau kepercayaan seperti ini jelas bertentangan dengan aqidah dan ajaran Islan sebagaimana yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW dan hukumnya adalah haram. Pemakaian inggu tidak memberi manfaat  serta tidak mampu mengelakkan kemudaratan.

Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ عَلَّقَ تَمِيمَةً فَلَا أَتَمَّ اللهُ لَهُ

Maksudnya: Sesiapa yang menggantungkan tamimah (tangkal) maka Allah tidak akan menyempurnakan buatnya.                                       (Riwayat Ahmad )

2. Islam tidak menetapkan atau menghadkan bahan-bahan tertentu dalam membuat rawatan. Islam juga tidak menghadkan kepada caa-cara tertentu sahaja. Setiap perubatan yang tidak bercanggah dengan syarak adalah dibenarkan dalam Islam. Selama mana bahan-bahan yang digunakan tidak bercanggah dengan Islam ia adalah dibolehkan. Beras, garam dan lada hitam boleh digunakan dengan dibacakan ayat-ayat ruqyah serta memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan perlindungan dan keselamatan dari segala musibah serta gangguan kejahatan jin mahupun manusia ke atas rumah atau diri adalah diharuskan dengan berkeyakinan bahawa hanya Allah SWT yang berkuasa memberi perlindungan dan bukan bahan-bahan tersebut.                                                                                                                                                                                                                                                            

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 672

message user image