BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

assalamualaikum.  saya ingin bertanya tentang hukum membawa senjata.  segala perbuatan rasulullah adalah dianggap sunnah maka adakah membawa senjata seperti pisau adalah salah satu sunnah berkenaan.  terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Membawa atau menggunakan senjata dalam Islam adalah diharuskan dalam beberapa keadaan antaranya:

1. Untuk mempertahankan diri, ahli keluarga dan harta,

2. Untuk melindungi diri daripada diserang musuh sekiranya tiada cara lain untuk mempertahankan diri melainkan menggunakan senjata,

3. Untuk mempertahankan negara dan Islam ketika diserang musuh bersenjata,

4. untuk membantu orang yang dizalimi sekiranya tiada cara lain untuk mempertahankan diri melainkan menggunakan senjata.

Disebalik keharusan di atas terdapat juga keadaan di mana Rasulullah SAW mengingatkan para sahabat agar tidak sewenang-wenangnya menghunus senjata kepada sesama muslim berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : 

مَن حَمَلَ عليْنا السِّلاحَ فليسَ مِنَّا

Maksudnya: Barangsiapa menghunuskan pedang kepada kami maka bukan daripada golongan kami. (Riwayat Muslim)

Membawa senjata pada zaman Rasulullah adalah sesuai dengan keadaan pada zaman tersebut, ianya termasuk di dalam sunnah al-jibiliyyah yang berkait rapat dengan adat sesuatu tempat atau masyarakat. Setakat carian yang dilakukan tidak ditemui kelebihan atau fadhilat tertentu membawa senjata setiap masa. Namun syarak tidak melarang untuk membawa senjata atas sebab-sebab yang diharuskan sebagaimana yang telah disebut di atas atau atas apa-apa keperluan yang tidak bercanggah dan bertentangan dengan syarak dan Undang-undang yang sedang berkuatkuasa seperti penjual barang-barang keperluan berkebun yang menjual parang, pembuat besi yang menerima tempahan alat-alat yang boleh dijadikan senjata dan apa-apa perbuatan melibatkan senjata yang tidak bercanggah dengan syarak maka ianya adalah diharuskan. 

Dalam konteks negara Malaysia, terdapat Akta Bahan-Bahan yang Menghakis dan Meletup dan Senjata Serangan 1958, Jadual Kedua, yang menyenaraikan senjata-senjata yang tidak boleh dibawa oleh orang awam. Antaranya flick knife, gravity knife, pedang, keris dan sebagainya. Di bawah Seksyen 7(1) Akta ini memperuntukkan bahawa kesalahan membawa senjata boleh dijatuhkan hukuman penjara selama 5 hingga 10 tahun.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.                                                                     

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 263

message user image