Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz/Ustazah, saya ingin mendapatkan pencerahan mengenai dalil-dalil / hujah2/ perbahasan ulama' mengenai gejala buli menurut perspektif Islam. Kerana kalaupun saya cuba mencari di internet, banyaknya hanya menurut perspektif Barat sahaja. Mohon pencerahan. terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, antara definisi buli adalah mempermain-mainkan orang, biasanya yang lemah, dengan tujuan untuk menggertak, mencederakan, menakutkan dan sebagainya. Ia juga diterima sebagai sesuatu perbuatan yang negatif dan bercanggah dengan norma kehidupan yang dibawa oleh agama Islam. Buli akan menyebabkan mangsa menjadi trauma, cedera malah boleh membawa kepada kematian. Buli adalah acuan barat yang telah meresap ke dalam hidup masyarakat Islam tanpa disedari.
Sebaliknya Islam datang dengan kesejahteraan dan keamanan. Maksud Islam itu sendiri jika diterjemahkan dalam bahasa Melayu membawa maksud sejahtera. Lafaz ucapan salam yang dianjurkan setiap kali bertemu sesama Islam melambangkan Islam akan menjamin kesejahteraan dan keamanan sesiapa sahaja yang menerima Islam dan tidak memusuhinya. Malah orang kafir zimmi (yang tidak memerangi Islam) pun akan dijaga dan tidak dibuli jika hidup di bawah kepimpinan Islam, apatah lagi sesama Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat ke 128;
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
Maksudnya: Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.
Kita dianjurkan untuk berakhlak dengan akhlak Islam yang sebenar seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW yang penuh hikmah serta kasih sayang. Dalam masa yang sama kita dinasihatkan supaya mendidik diri dan zuriat keturunan kita agar menjauhi budaya barat yang boleh menimbulkan suasana yang tidak harmoni.
والله أعلم بالصواب