BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

 

Saya ingin bertanya berkenaan sebuah hadis mengenai aqiqah, di mana dinyatakan setiap anak itu tergadai dengan aqiqahnya.

Yang biasa difahami dalam Bahasa Melayu, 'tergadai' membawa maksud kehilangan sesuatu yang berharga yang asalnya milik kita.

Namun seperti tidak menepati maksud sebenar dalam hadis, ataupun maksudnya tidak sampai bagi yang kurang memahami seperti saya.

Apakah yang dimaksudkan dengan kata 'tergadai' dalam hadis tersebut?

Diharap pihak Pejabat Mufti boleh memberikan sedikit penerangan untuk kefahaman saya.

 

Terima kasih.

Adzlan Yahya.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Terima kasih kepada tuan bertanyakan soalan berkenaan hadis yang menganjurkan perbuatan aqiqah untuk bayi yang baru dilahirkan. Kami nyatakan hadis yang masyhur berkaitan ibadah aqiqah iaitu, daripada Samurah bin Jundub RA, Nabi SAW bersabda:

كلُّ غُلامٍ رَهينةٌ بعَقيقَتِه، تُذبَحُ عنه يَومَ سابِعِه، ويُحلَقُ ويُسَمَّى

Maksudnya: Setiap anak tergadai dengan aqiqahnya, disembelihkan untuknya pada hari ke tujuh, dicukur dan diberi nama. (Riwayat Abu Daud)

Hadis di atas telah dibincangkan oleh para ulama' berkenaan dengan makna ‘Setiap anak tergadai dengan aqiqahnya’ dan para ulama' berbeza pendapat dengan maksud 'tergadai'. Antaranya:

Pendapat Pertama:  maksud tergadai tersebut adalah syafaat anak kepada kedua ibu bapanya. Ertinya, jika anak tersebut meninggal sebelum baligh dan belum diaqiqahkan, maka ibu bapa anak tersebut tidak akan mendapat syafaat daripada anaknya pada hari kiamat nanti.

Pendapat ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad.

قال أحمد : هذا في الشفاعة يريد أنه إن لم يعق عنه فمات طفلاً لم يُشفع في والديه

Berkata Imam Ahmad: Hadis ini membicarakan berkaitan syafaat. Yang beliau maksudkan, bahawa ketika anak tidak diaqiqahkan, kemudian dia meninggal ketika bayi, dia tidak mampu memberikan syafaat kepada kedua ibu bapanya. (Ma’alim al-Sunan, 4/285)

Pendapat Kedua: maksud tergadai tersebut adalah menjurus kepada sudut keselamatan si anak dari ancaman bahaya. Jika dilaksanakan aqiqah maka diharapkan anak tersebut akan terselamat dari ancaman bahaya dalam kehidupan. Atau ibu bapa anak tersebut tidak mendapat kenikmatan dari lahirnya anak tersebut. Ini merupakan pendapat Mulla Ali Qori (ulama mazhab Hanafi). Beliau mengatakan:

مرهون بعقيقته يعني أنه محبوس سلامته عن الآفات بها أو أنه كالشيء المرهون لا يتم الاستمتاع به دون أن يقابل بها لأنه نعمة من الله على والديه فلا بد لهما من الشكر عليه

Tergadai dengan aqiqahnya, bermaksud jaminan keselamatan untuknya dari ancaman bahaya, tertahan dengan aqiqahnya. Atau si anak seperti sesuatu yang tergadai, tidak dapat menikmati kehidupan secara sempurna, tanpa ditebus dengan aqiqah. Ini kerana anak merupakan nikmat dari Allah SWT bagi kedua ibu bapanya, dan mereka hendaklah berasa syukur. (Mirqah al-Mafatih, 12/412)

Pendapat  Ketiga: Allah SWT menjadikan aqiqah bagi seseorang bayi sebagai simbolik untuk membebaskan bayi dari gangguan syaitan. Karena setiap bayi yang lahir akan diikuti syaitan dan dihalangi untuk melakukan usaha kebaikan bagi akhiratnya. Dengan aqiqah, diharapkan akan menjadi asbab untuk membebaskan bayi dari gangguan syaitan. Ini merupakan pendapat Ibnu al-Qayyim. Beliau juga tidak bersetuju pendapat yang mengatakan bahawa aqiqah menjadi syarat adanya syafaat anak kepada ibu bapanya.

Beliau mengatakan:

كونه والداً له ليس للشفاعة فيه. وكذا سائر القرابات والأرحام وقد قال تعالى : يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ وَاخْشَوْا يَوْمًا لَا يَجْزِي وَالِدٌ عَنْ وَلَدِهِ وَلَا مَوْلُودٌ هُوَ جَازٍ عَنْ وَالِدِهِ شَيْئًا

Status seseorang sebagai orang tua bagi si anak, bukan sebab dia mendapatkan syafaat. Demikian pula hubungan kerabat dan keluarga (tidak mampu memberi syafaat). Allah telah menegaskan:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ وَاخْشَوْا يَوْمًا لَا يَجْزِي وَالِدٌ عَنْ وَلَدِهِ وَلَا مَوْلُودٌ هُوَ جَازٍ عَنْ وَالِدِهِ شَيْئًا

Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. (Surah Luqman: 33)

Kemudian, beliau mengatakan:

فلا يشفع أحد لأحد يوم القيامة إلا من بعد أن يأذن الله لمن يشاء ويرضى ، فإذنه سبحانه وتعالى في الشفاعة موقوف على عمل المشفوع له من توحيده وإخلاصه

Oleh sebab itu, seseorang tidak mampu memberikan syafaat kepada orang lain pada hari kiamat, kecuali setelah Allah SWT izinkan, untuk diberikan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dan Dia redhai. Sementara izin Allah SWT dalam syafaat, bergantung kepada keimanan dan kekuatan ikhlas daripada orang yang mendapat syafaat itu. (Tuhfah al-Maudud, hlm. 73).

Dalam mentafsirkan ayat di atas, Ibnu al-Qayyim menyatakan bahawa:

المرتهن هو المحبوس إما بفعل منه أو فعل من غيره … وقد جعل الله سبحانه النسيكة عن الولد سببا لفك رهانه من الشيطان الذي يعلق به من حين خروجه إلى الدنيا وطعن في خاصرته فكانت العقيقة فداء وتخليصا له من حبس الشيطان له وسجنه في أسره ومنعه له من سعيه في مصالح آخرته التي إليها معاده

Tergadai bermaksud tertahan, sama ada perbuatannya sendiri atau perbuatan orang lain, dan Allah SWT menjadikan aqiqah untuk anak sebagai sebab untuk melepaskan gangguan dari syaitan, yang mana syaitan selalu mengiringi bayi sejak lahir ke dunia, dan menusuk bahagian pinggang dengan jarinya. Sehingga aqiqah menjadi tebusan untuk membebaskan bayi dari hasutan syaitan, yang menghalanginya untuk melakukan kebaikan akhiratnya. (Tuhfah al-Maudud, hlm. 74)

Kesimpulan yang boleh dirumuskan setelah merujuk kepada pandangan para ulama', yang dimaksudkan dengan tergadai di dalam hadis aqiqah adalah tertahan dari suatu kebaikan yang seharusnya diperoleh jika aqiqah dilaksanakan. Sekian, terima kasih

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 326

message user image