Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, moga Allah merahmati mereka yang menegakkan agamanya. Pernikahan misyar merupakan satu trend baharu di Malaysia. Apakah kedudukan nikah misyar di sisi agama Islam dan adakah pernikahan misyar ini boleh dipraktikkan di malaysia?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Nikah misyar (المسيار) adalah pernikahan yang memenuhi segala rukun dan syaratnya, dilakukan kerana suka sama suka, ada walinya, ada saksinya, dan ada maharnya, akan tetapi, isteri merelakan beberapa haknya tidak dipenuhi oleh suaminya, misalnya hak nafkah, hak giliran atau tempat tinggal.
Perkahwinan misyar sebenarnya adalah sama seperti perkahwinan biasa yang lain dari segi memenuhi syarat rukun nikah iaitu wali, bakal suami, bakal isteri, dua saksi serta akad (ijab dan qabul). Namun begitu, isteri dengan redha atau rela hati melepaskan sebahagian tanggungjawab suami terhadapnya seperti penyediaan tempat tinggal, nafkah zahir dan lain-lain yang sepatutnya disediakan oleh suami kerana merasakan ia berkemampuan untuk menampung kehidupannya sendiri. Menurut Dr. Abdul Bari az-Zamzami, Ahli Jawatankuasa Lujnah Ulama’ Maghribi, menyatakan bahawa, perkahwinan misyar dilaksanakan mengikut syarat rukunnya sepertimana pernikahan biasa di mana isteri bersetuju untuk melepaskan sebahagian tanggungan atau hak yang wajib terhadap suami.
Berdasarkan keterangan di atas, kita dapat memahami bahawa perkahwinan misyar adalah sah dari sisi agama Islam selagimana ia mengikut syarat-syarat dan ketetapan yang telah ditentukan oleh syarak. Walau bagaimanapun, pengamalan perkahwinan secara misyar dibimbangi tidak dapat mencapai matlamat mahupun maqasid perkahwinan di dalam Islam itu sendiri yang mana pada kebiasaannya ia dilakukan oleh pasangan berpoligami di luar pengetahuan isteri pertama. Perkara ini secara tidak langsung dikhuatiri turut membuka ruang berlakunya perbalahan serta tidak ketidakharmonian hidup berkeluarga dan bermasyarakat pada masa akan datang.
والله أعلم بالصواب