BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

assalamualaikum,

benarkah dalam perubatan islam boleh tahu siapa yang buat sesuatu perkara terhadap orang lain ( cth seperti jampi, buatan) sehingga boleh beritahu siapa orangnya.

boleh atau tidak sesuatu perubatan islam dibuat hanya melalui chat di whatsapp( tanpa berjumpa / bercakap) sahaja dan dengan melihat gambar sesorang.

apakah hukum dengan mempercayai perubatan seperti ini serta mengamalkannya.

 

terima kasih

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته        

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Tujuan asal perubatan Islam adalah untuk menyembuhkan penyakit atau sihir atau jampi yang hinggap kepada tubuh seseorang. Adapun mengenalpasti siapa yang menghantar sihir atau jampi tersebut bukanlah menjadi keutamaan. Ini kerana terkadang jin atau sihir boleh terkena kepada orang yang bukan sasaran sebenar atas berbagai faktor. 

Sekiranya dapat diketahui penghantar sihir tersebut melalui cara bertanya kepada syaitan atau jin yang sedang menguasai tubuh seseorang, perkara ini tidak boleh diterima kesahihannya kerana sikap jin yang jahat ini pandai memperdaya, suka menipu dan mencetus perbalahan dengan melaga-lagakan umat manusia.

Adapun sekiranya diketahui dengan cara khabar yang disampaikan oleh seseorang, maka khabar trersebut perlu disaring dan diselidik terlebih dahulu tanpa berburuk sangka kepada sesiapa pun. Adalah lebih baik jika perawat merahsiakan siapa yang menghantar sihir tersebut bagi mengelak perbalahan dan hanya menumpukan kepada penyembuhan pesakit bagi mengelak sangkaan jahat sesama Islam.

Pedoman dan nasihat yang paling sesuai diyakini oleh mangsa sihir adalah :-

  1. Segala yang berlaku adalah dengan ketentuan Allah SWT untuk menguji kesabaran manusia dengan berbagai cara. Tanpa izin daripada Allah SWT, sihir yang direncanakan akan gagal dan tidak berlaku.
  2. Hanya Allah SWT yang berkuasa menyembuhkan sihir yang dihidapi dan hanya kepada-Nya kita dituntut untuk mengadu dan mengharap.
  3. Syaitan dan jin (kafir) akan sentiasa melaga-lagakan umat manusia supaya berbalah dengan pergaduhan dan sangkaan jahat.

Perubatan Islam boleh menggunakan kaedah semasa seperti whatsapp dan gambar asalkan niat perawat adalah untuk mengubati pesakit yang dimaksudkan. Perubatan Islam hendaklah berpandukan kepada ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW serta zikir yang warid dan muktabar dalam kalangan ulama'. Sekiranya tidak pasti tentang kaedah yang digunakan oleh perawat atau ayat yang dibaca samar dan tidak jelas, maka dinasihatkan mencari perawat yang lain yang lebih dipercayai keilmuan dan amalannya. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 165

message user image