Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan, saya ingin bertanya, satu hari saya ada bergaduh dengan rakan saya. Kebetulan pada petang itu, beliau ingin memasak sebuah masakan pada kami semua. Pada ketika itu, saya berasa marah kerana peristiwa bergaduh itu lalu saya kata secara bersendirian. " Aku taknak makan masakan tu kalau aku makan aku dosa". Kemudian baru saya istighfar sebab saya tahu tidak baik kata begitu. Pada malam itu, kami minta maaf dan saya makan masakanya. Persoalanya, adakah berdosa disebabkan saya makan masakan yang dimasak atau tidak disebabkan saya tidak lafaz untuk bernazar atau bersumpah. Saya hanya berkata perkara tersebut kerana perasaan marah yang membuak-buak. Harap tuan dapat selesaikan pertanyaan saya ini. Kalau berdosa apa yang perlu saya lakukan.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan, makanan itu halal dimakan tanpa jatuh berdosa kerana tiada unsur haram dan keraguan. Ia menepati piawaian syarak yang tidak ada campuran apa-apa dalam masakan tersebut. Selagi mana sumber makanan itu boleh dipercayai dan tidak bersumberkan yang subhah, maka ia boleh dimakan. Islam menetapkan asal sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman, asalnya tetap dibolehkan dan digunakan.
Kaedah Usul al Fiqh ada menyatakan bahawa;
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).
Dalam menjelaskan perkara ini Allah SWT telah berfirman dalam surah al Baqarah:173;
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ ۖ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".
Berkaitan dengan persoalan nazar, ingin kami nyatakan bahawa nazar ialah suatu perkara atau perbuatan yang pada asalnya tidak wajib menjadi wajib berlandaskan syariat yang telah ditetapkan. Niat utama seseorang bernazar mestilah dengan melakukan sesuatu perkara yang baik dan bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ulama fiqah juga ada menyatakan bahawa nazar itu merupakan iltizam untuk mendekatkan diri dengan kewajipan yang tidak disyaratkan secara mutlak ataupun terikat dengan sesuatu. Dalam hal ini, niat kita tidak mahu memakan masakan yang dimasak oleh kawan, ianya tidak dikategorukan sebagai nazar.
Tidak sah bernazar melakukan hal yang mubah (harus), makruh dan haram. Dan tidak sah bernazar dalam melakukan sesuatu yang wajib atau fardhu ain. Perkara yang dinazarkan perlulah perbuatan sunnah atau fardhu kifayah. Rasulullah bersabda:
مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ
Maksudnya: "Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu". (Riwayat al-Bukhari)
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.