Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya pernah keguguran kandungan 18 minggu pada tahun 2003. Saya baru tahu yang usia kandungan 4 bulan ke atas hendaklah diberi nama. Untuk pengetahuan ustaz, kami tidak memberi nama tetapi kami mandikan dan solatkan. Kami kebumikan di tanah perkuburan islam tetapi tiada tanda kubur yg khas, hanya dikebumikan disebelah kubur yg ada disitu.
Soalan saya,
1. Bolehkah saya memberi nama kepada anak saya walaupun sudah terlambat?
2. Bolehkah kubur anak saya hanya ditumpangkan sebelah kubur lain tanpa tanda?
Saya sangat berharap ustaz dapat menjawab persoalan saya.
Sekian ,terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan:
1. Puan masih boleh dan belum terlambat untuk memberikan nama kepada anak tersebut bahkan sunat untuk menamakannya. Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Darda' RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :
إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ القِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ
Maksudnya : "Sesungguhnya pada hari kiamat kelak, manusia akan dipanggil menghadap Allah SWT dengan nama masing-masing dan nama bapa masing-masing (sepertimana nama di dunia). Oleh itu, pilihlah nama yang baik-baik untuk kamu sekalian". (Riwayat Abu Daud)
2. Boleh dan tiada masalah, kerana kebiasaannya kubur yang bertanda itu menempatkan jenazah yang lahirnya cukup sifat. Manakala kubur yang tidak bertanda itu adalah untuk janin-janin yang keguguran atau yang meninggalnya belum cukup sifat. Puan tidak perlu risau kerana kandungan yang keguguran tetap dikira sebagai zuriat puan di akhirat kelak. Memadailah puan memberikan nama-nama yang elok dan baik maksudnya pada anak tersebut sebagaimana maksud hadis di atas.
والله أعلم بالصواب