Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz,
Soalan saya :-
Wajib atau tidak bayaran fidyah puasa ke atas arwah yang mana dia sihat tubuh badan & fizikal dan bekerja sebagai buruh kasar di ladang sawit tetapi mempunyai pemikiran yg boleh dikategorikan sebagai OKU Lembam.
Di mana arwah pernah demam panas semasa kecil dan tidak pandai membaca dan menulis walaupun di ajar di sekolah tetapi bukan gila. Arwah pergi solat di masjid tetapi sekadar mengikut cara solat sahaja tanpa membaca bacaan dalam solat kerana tidak boleh menghafal di sebabkan daya ingatan seperti OKU lembam.
Minta penjelasan Ustaz .... Terima Kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan saudara, ibadah solat dan puasa bagi mereka yang OKU lembam atau masalah pembelajaran adalah wajib mengikut tahap kemampuannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 78:
هُوَ ٱجۡتَبَىٰكُمۡ وَمَا جَعَلَ عَلَیۡكُمۡ فِی ٱلدِّینِ مِنۡ حَرَجࣲۚ
Maksudnya: “...Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama”
Begitu juga firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 286:
لَا یُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ
Maksudnya : “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya”
Hukum sama ada wajib atau tidak seorang OKU lembam membayar fidyah kerana meninggalkan puasa adalah dengan melihat sama ada beliau wajib berpuasa atau tidak.
Bagi seorang OKU lembam yang mengalami kecacatan mental, mereka boleh diqiyaskan sebagai ma'tuh (معتوه). Tanggungjawab mereka terhadap ibadah boleh dibahagikan kepada dua bahagian berdasarkan keadaan sama ada mereka mumayyiz atau tidak. Sekiranya mereka tidak mumayyiz, maka mereka tidak dipertanggungjawabkan untuk berpuasa dan tidak perlu qada' atau membayar fidyah jika meninggalkannya. Ibadah mereka juga adalah tidak sah. Sekiranya mereka mumayyiz, mereka turut tidak dituntut untuk melakukan ibadah. Walau bagaimanapun ibadah mereka sah sekiranya memenuhi segala rukun dan syaratnya. Seandainya mereka meninggalkan puasa, mereka tidak perlu mengqada' atau membayar fidyah.
والله أعلم بالصواب