BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

PERSOALAN: STATUS MAKANAN DAN SOLUSI BERSAMA

Assalamualaikum,

Saya merupakan bekas pelajar di sebuah sekolah berasrama. Saya pernah mengambil sebuku roti, beberapa biji telur rebus dan sos cili tanpa izin di dewan makan. Namun, saya tidak mengambil makanan-makanan tersebut di waktu-waktu makan sarapan dan supper atas sebab saya sudah pun mengambilnya pada hari kejadian. Hal ini kerana, dewan makan tersebut menyediakan makanan pada waktu tengah malam dan menyimpannya untuk dihidangkan pada waktu pagi dan saya hanya mengambilnya sedikit awal dari waktu yang ditetapkan. Atas rasa bersalah, saya pernah memberi sedekah kepada masjid dengan niat pahala tersebut diberikan kepada individu-individu yang terkesan dengan perbuatan saya. 

Persoalan saya, apakah status makanan tersebut dan apa yang patut dilakukan oleh saya sekarang? Saya mengharapkan jawapan tulus ikhlas dari Tuan/Puan, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudara, mengambil atau memakan sesuatu yang bukan hak milik kita dan tanpa izin pemiliknya hukumnya adalah haram. Saudara perlu meminta kemaafan dari pemilik barang tersebut seandainya mampu berbuat demikian. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan atas sebab-sebab tertentu untuk berbuat demikian, maka berdoa dan mohonlah keampunan dari Allah SWT di atas kesalahan pada masa lalu. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 39;

فَمَن تَابَ مِنۢ بَعۡدِ ظُلۡمِهِۦ وَأَصۡلَحَ فَإِنَّ ٱللَّهَ یَتُوبُ عَلَیۡهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورࣱ رَّحِیمٌ

Maksudnya: “Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Tindakan saudara yang memberikan sedekah dengan niat menebus kesilapan dan kesalahan tersebut adalah satu usaha yang baik. Mudah-mudahan sampai pahalanya dan diberkati oleh Allah SWT. Semoga perkara ini menjadi pengajaran kepada saudara pada masa akan datang. Adalah dinasihatkan agar saudara sentiasa membuat kebaikan dan hindarilah kejahatan.  Dalam perkara kebaikan buatlah sebanyak yang mungkin, kerana kebaikan itu akan berbalik kepada diri sendiri. Firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 7;

إِنۡ أَحۡسَنتُمۡ أَحۡسَنتُمۡ لِأَنفُسِكُمۡۖ وَإِنۡ أَسَأۡتُمۡ فَلَهَاۚ

Maksudnya: "Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga"                                                                     

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 176

message user image