BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Salam ustaz/ustazah. Apakah hukum seorang muslim mengambil upah melatih anjing peliharaan? Mohon pencerahan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk persoalan tersebut, seorang muslim diharuskan mengambil upah melatih anjing pada perkara yang boleh memberi manfaat yang dibenarkan dari segi syarak seperti melatih anjing untuk memburu, menjaga ternakan atau menjadi anjing pengesan. Para fuqaha sepakat memelihara anjing untuk ternakan, tanaman dan berburu dibolehkan. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 4:

يَسْـَٔلُوْنَكَ مَاذَآ اُحِلَّ لَهُمْۗ قُلْ اُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبٰتُۙ وَمَا عَلَّمْتُمْ مِّنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِيْنَ تُعَلِّمُوْنَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللّٰهُ 

Maksudnya: "Mereka bertanya tentang apa yang dihalalkan bagi mereka. "Katakanlah dihalalkan bagimu yang baik-baik dan binatang buruan yang ditangkap oleh binatang buas (anjing) yang telah kamu latih untuk berburu sebagaimana Allah telah mengajarkan kepadamu".

Berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda:

مَنْ اقْتَنَى كَلْبًا لَيْسَ بِكَلْبِ صَيْدٍ وَلا مَاشِيَةٍ وَلا أَرْضٍ فَإِنَّهُ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِهِ قِيرَاطَانِ كُلَّ يَوْمٍ

Maksudnya: "Siapa yang memelihara anjing selain untuk mengembala binatang ternakan, berburu atau menjaga tanaman, maka pahalanya dikurangi satu qirath (seperempat gram) tiap harinya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis di atas, oleh kerana anjing boleh dipelihara atas alasan untuk berburu, menjaga tanaman dan ternakan, dibolehkan juga untuk melatih anjing namun tidak boleh mendera atau menyakiti binatang tersebut. Walau bagaimanapun, melatih anjing untuk menjadi binatang peliharaan atau pet adalah dilarang.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 223

message user image