BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Sy ada sedikit pertanyaan.

 

Jika ada orang mengajak kita beribadah, tapi disuruh tulis berapa banyak ibadah kita supaya menaikkan semangat org lain untuk beribadah lebih bnyk lagii.. adakah ianya baik atau sebaliknya?

 

adakah ia akan mendorong kita kepada sifat ujub riak dan takbur atau tidak?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Pengertian ujub, riak dan takabbur

1. Ujub: bermaksud bangga akan diri sendiri, merasa kagum terhadap diri sendiri kerana kelebihan atau sesuatu yang terdapat padanya. Diri sendiri yang dimaksudkan adalah berkaitan peribadinya, orang kelilingnya, harta benda, kecantikan, kepandaian, anggota keluarganya atau apa sahaja yang dekat dan akrab dengan dirinya.

2. Riak: bermaksud tidak ikhlas menunaikan ibadat atau melakukan sesuatu dengan mengharapkan balasan yang setimpal. Sebagai contoh seorang lelaki atau perempuan yang bersembahyang sambil mengharapkan agar ada orang yang memerhati dan memuji kerajinannya.

3. Takbur: berasal daripada perkataan bahasa arab ‘takabbara’ yang membawa maksud sombong. Di dalam kamus dewan edisi ke empat mentakrifkan takbur sebagai berperasaan tinggi diri dan suka menganggap diri sendiri lebih mulia, lebih pandai, lebih cerdik dari orang lain.

Ketiga-tiga penyakit hati ini membahayakan umat Islam dan jika sifat-sifat ini terdapat di dalam diri, ia akan menyebabkan pahala amalan ditolak serta merta dan mendapat kemurkaan Allah SWT.

Menjawab persoalan saudara/saudari, berkaitan menulis berapa banyak ibadah kita supaya menaikkan semangat atau motivasi kepada orang lain untuk beribadah lebih banyak lagi.

Ia dibolehkan dengan syarat:

a) Niatnya benar-benar ikhlas semata-mata untuk memberi motivasi kepada orang lain agar lebih semangat untuk berbuat kebaikan.

b) Yakin dapat menghindarkan diri dari penyakit riak, ujub dan takbur.  

c) Tidak boleh menulis atau menceritakan kebaikan secara berlebihan dan menjurus pada sombong.

d) Tidak boleh memuji diri sendiri sambil menghina atau merendahkan orang lain.

Walaupun begitu, adalah lebih baik agar kita dapat mengelakkan daripada terlibat dalam situasi yang saudara/saudari nyatakan di atas kerana perkara yang melibatkan penyakit-penyakit hati ini amat halus ujian dan cabarannya. Daripada Anas R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لو لم تذنبوا، لخشيت عليكم ما هو أكبر منه العُجْب

Maksudnya:“Andaikan kalian tidak pernah berbuat dosa sedikitpun, pasti aku khawatir kalau kalian berbuat dosa yang lebih besar, iaitu perasaan ujub.” (Riwayat Barraz dan Ibnu Hibban). 

Kesimpulannya, adalah lebih baik mengambil contoh orang lain berbanding memuji diri sendiri bagi memberi motivasi kepada orang lain untuk berbuat sesuatu kebaikan.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 166

message user image